NEW YORK: Australia, Amerika Syarikat (AS) dan 13 negara lain telah mengkritik China dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari ini berhubung dakwaan pencabulan hak asasi manusia di Xinjiang dan Tibet.
Kritikan itu kemudiannya mendorong China untuk bertindakbalas dengan mengecam kesemua negara yang terlibat itu antaranya termasuk Perancis, Jerman, United Kingdom, Kanada dan Jepun kerana mengabaikan ‘neraka hidup’ yang kini dialami penduduk di Semenanjung Gaza.
Pertelingkahan berhubung layanan yang diberikan China terhadap etnik Uighur dan umat Islam di negara itu telah menjadi perkara biasa di PBB di New York dan Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, lapor Al Arabiya.
Laporan yang dikeluarkan oleh PBB dua tahun lalu yang dikeluarkan dua tahun lalu mengatakan ‘penahanan sewenang-wenangnya dan diskriminasi’ China terhadap etnik Uyghur dan orang Islam di wilayah Xinjiang mungkin merupakan jenayah terhadap kemanusiaan.
Laporan itu antara lainnya menulis bahawa ‘pelanggaran hak asasi manusia yang serius’ telah dilakukan oleh China.
Duta Besar Australia ke PBB, James Larsen memberitahu jawatankuasa hak asasi manusia Perhimpunan Agung PBB bahawa pihaknya menggesa China untuk menegakkan kewajiban hak asasi manusia antarabangsa yang telah diamalkan secara sukarela, selain melaksanakan semua cadangan yang dikemukakan PBB.
“Ini termasuk membebaskan semua individu yang ditahan sewenang-wenangnya di Xinjiang dan Tibet, dan segera menjelaskan nasib dan lokasi ahli keluarga yang hilang,” katanya.
Sementara itu, China telah sekian lama menafikan semua dakwaan yang dikemukakan mengenai layanan negara itu terhadap etnik Uighur.
Duta Besar China ke PBB, Fu Cong pula menuduh kumpulan negara yang majorotinya daripada Barat itu sebagai melakukan pembohongan untuk mencetuskan konfrontasi.
Menurutnya, jika angka kematian di Gaza tidak mencukupi untuk ‘membangkitkan hati nurani beberapa negara Barat’, maka apa yang dipanggil perlindungan hak asasi manusia umat Islam mereka hanyalah pembohongan terbesar.
“Situasi hak asasi manusia yang sepatutnya mendapat perhatian paling banyak oleh jawatankuasa (hak asasi manusia) tahun ini sudah pasti Gaza.
“Australia dan AS, antara beberapa yang lain, memperkecilkan neraka hidup ini, sambil melancarkan serangan dan fitnah terhadap Xinjiang yang aman dan tenang,” katanya. -Agensi/ – HARAKAHDAILY 23/10/2024