‘Adakah tidak malu veteran bawa kes tuntutan ke mahkamah?’

Dato' Khlir Mohd Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang memfailkan rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kes tuntutan pelarasan pencen mereka disifatkan sebagai sesuatu yang memalukan.

- Advertisement -

Dato’ Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Februari lepas telah memihak kepada veteran ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 yang membuat tuntutan bagi kes itu.

Tambah beliau, kerajaan sepatutnya memihak kepada veteran ATM terlibat yang banyak berjasa namun tidak mendapat hak mereka yang sewajarnya dengan tidak membuat rayuan bagi kes itu.

“Sehingga kini telah banyak usaha-usaha yang dilakukan oleh veteran yang bersara sebelum 1 Januari 2013, termasuklah membawa kes ini ke mahkamah untuk mendapatkan perintah mahkamah agar kerajaan berlaku adil kepada mereka.

“Sudah banyak dah bawa pergi ke mahkamah, Mahkamah Tinggi. Rujuk saman pemula pada bulan November 2022 oleh Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia atau PSPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2025 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

“Di sini saya ingin bertanya kepada kerajaan dan MINDEF, apakah tidak malu apabila veteran-veteran ini membawa kes tuntutan ini ke mahkamah?

“Hak mereka! Tak malukah? MINDEF kena jawab, tak malukah? Kerajaan kena jawab, tak malukah?” soalnya.

Menurut beliau, sikap kerajaan terhadap anggota tentera itu disifatkan sebagai pelik dan tidak pernah berlaku di mana-mana negara di dunia.

“Lebih menyedihkan lagi dan amat memalukan bila mana MINDEF telah membuat keputusan kes ini ke Mahkamah Rayuan… Mahkamah Tinggi (sudah) buat keputusan, bawa lagi Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi. Apa ni?

“Saya difahamkan kes ini akan didengar sekali lagi di Mahkamah Rayuan pada 21 Januari 2025,” katanya.

Khlir turut menzahirkan kekesalan atas keengganan kerajaan untuk berbincang dengan persatuan-persatuan veteran angkatan tentera untuk menyelesaikan isu itu.

Tambah beliau, keputusan Mahkamah Tinggi itu turut menyimpulkan bahawa dalam kes itu Majlis Angkatan Tentera telah gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Gagal! Jangan tidur Majlis Angkatan Tentera! Majlis Angkatan Tentera hendaklah melaksanakan hak pelarasan pencen veteran bersara sebelum 1 Januari 2013.

“Serupa dengan veteran yang bersara selepas 1 Januari 2013 dan tidak ada yang membezakan pencen mereka. Ini kata Hakim Mahkamah Tinggi!” tegasnya.

Menurut beliau, keputusan Hakim juga menyatakan bahawa Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan pencen kepada tentera yang berkhidmat untuk negara.

“Kegagalan menyelaraskan pencen veteran ATM adalah satu keingkaran kepada Perlembagaan Persekutuan. Ini keputusan Mahkamah Tinggi.

“Tindakan PSPRN ini membawa ke Mahkamah Tinggi bukannya untuk mendakwa kerajaan. Tak ada, bukan nak mendakwa kerajaan, tetapi hanya untuk mendapat keadilan ke atas mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2024