KOTA BHARU: Seramai 15 anak muda Kelantan akan mengikuti kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang ‘electric vehicle’ di China.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Antara Kaum, Zamakhshari Mohamad berkata, buat pertama kali kerajaan negeri menghantar pelajar ke negara berkenaan untuk kursus intensif dalam bidang automotif selama dua minggu.
Katanya, China dipilih kerana negara itu sedang berkembang dalam bidang automotif dengan kecanggihan teknologi dan inovasi terkini.
“Alhamdulillah saya dapat bersama dengan peserta kursus dan ibu bapa mereka dalam sesi taklimat persediaan sebelum bertolak.
“InsyaAllah mereka akan berada di Beifang Automative Education, Beijing selama dua minggu bermula 23 Oktober sehingga 3 November ini,” katanya di sini.
Menurutnya juga Projek Belia Mahir itu dikendalikan Urusetia Belia dan Sukan (U-BeS) Kelantan dengan kerjasama pihak industri.
Oleh itu beliau berharap semua peserta dapat memanfaatkan sebaik mungkin peluang tersebut dan dapat menyumbang manfaat kepada pembangunan Kelantan. – HARAKAHDAILY 23/10/2024