KUALA LUMPUR: Penyasaran subsidi RON95 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 Jumaat lalu telah menimbulkan pelbagai persoalan khususnya mengenai mekanisme pelaksanaannya.
Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid menerusi kenyataannya berkata, kerajaan dan agensi-agensinya tiada sebarang persediaan bagi program penyasaran RON95 ini, di mana hanya umum sahaja tanpa tahu kesan dan mekanismenya.
“Terdapat kecelaruan maklumat sehingga kini. PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan MOF (Kementerian Kewangan) umum tidak akan ada kesan bagi majoriti 85 peratus rakyat, yang terkesan T15 dan warga asing. Tapi apa definisi T15?”
“Pakar ekonomi berbelah bagi, ahli-ahli politik begitu juga. Tapi yang lebih pelik, dalam kerajaan sendiri, Menteri Pengangkutan kata mungkin perlu tunjuk MyKad. Kemudian beliau kata mekanisme dalam kajian akan dibentang kemudian.
“Menteri Ekonomi pula berkata kerajaan perlu bersedia untuk hadapi kritikan. Ketua Setiausaha Perbendaharaan pula kata mungkin perlu bangunkan pangkalan data pengguna untuk bezakan 85 peratus dengan 15 peratus dan warga asing,” katanya.
Menurut beliau, perkara berkenaan jelas menunjukkan bahawa kerajaan tiada perancangan yang spesifik dan gagal untuk merancang, seterusnya merancang untuk gagal.
“Adakah kerajaan tidak tahu cara-cara lain untuk menjimatkan belanja yang tidak susahkan rakyat? Cara mudah adalah tidak teruskan subsidi, atau jimat subsidi. Tetapi tidakkah kerajaan ingin fikirkan cara lain?” soalnya.
Tambah Rafique, kerajaan tidak seharusnya ‘perah’ rakyat kemudian berkata seolah-olah kerajaan membantu rakyat, sedangkan rakan-rakan ahli politik hidup senang- lenang.
“Penyasaran bukan pembatalan. Ketiadaan arah dan hala tuju dalam isu RON95 setakat umum sahaja jelas membuktikan Kerajaan pimpinan PMX pandai cakap sahaja.
“Persoalan paling utama adalah, samada rakyat akan terima lagi diperbodohkan begitu sahaja?” katanya. – HARAKAHDAILY 22/10/2024