KUALA LUMPUR: Zakri Hassan (PN-Kangar) membangkitkan persoalan mengenai pemilik sebenar Jualan Rahmah dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau mendakwa kebanyakan pemilik Jualan Rahmah bukanlah anak tempatan, tetapi peniaga dari luar kawasan yang menjalankan perniagaan dengan treler dan mengaut keuntungan daripada inisiatif tersebut.
Justeru, katanya kerajaan perlu mengkaji semula inisiatif itu dengan memastikan lebih banyak keadilan kepada peniaga tempatan yang turut terjejas.
Menurutnya, peniaga kecil tempatan tidak mampu menurunkan harga barangan kerana mereka tidak menikmati subsidi seperti yang diberikan kepada pihak Jualan Rahmah.
“Peniaga-peniaga tempatan juga merupakan rakyat Malaysia yang perlu dibantu,” katanya.
Beliau mencadangkan agar kerajaan mengawal kenaikan kos modal bagi memastikan semua peniaga dapat bersaing dengan lebih adil dan tidak terus ketinggalan.
Dalam perbahasan tersebut, Zakri juga menekankan walaupun Jualan Rahmah memberi manfaat kepada penduduk berdekatan dengan menawarkan barangan keperluan pada harga subsidi, ia juga menimbulkan keburukan.
“Banyak penduduk di luar kawasan tersebut yang tidak mempunyai pendapatan mencukupi tidak mampu menikmati harga subsidi ini, menyebabkan mereka masih terpinggir dari segi akses kepada barangan keperluan yang murah,” ujarnya lagi.
Beliau menggambarkan situasi itu dengan pepatah Melayu, ‘kais pagi makan pagi’.
Zakri turut meluahkan kebimbangannya terhadap kesan negatif Jualan Rahmah kepada peniaga tempatan yang sukar bersaing dengan harga subsidi.
“Ekonomi yang sudah lembab semakin merosot apabila peniaga kecil tempatan terpaksa menghadapi cabaran ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/10/2024