Kerajaan gagal dalam perancangan noktah miskin tegar

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani dilihat gagal dalam perancangan mereka untuk menoktahkan miskin tegar dalam negara dalam tempoh masa yang telah mereka tetapkan sendiri.

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berkata, ia berdasarkan angka-angka yang telah diberikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sewaktu menjawab persoalan yang dibangkitkan itu.

“Kalau kita lihat maknanya ciri kemiskinan itu juga berbeza antara wilayah. Pendapatan RM2000 di desa sudah tentu tidak sama nilainya RM2000 di bandar. Jadi sebelum ini kerajaan menggunakan pengukuran kemiskinan berdasarkan pelbagai dimensi.

- Advertisement -

“Kini kerajaan telah mengubah kaedah dengan menggunakan NDI atau pun pendapatan boleh guna bersih. Sedangkan perkara ini masih belum jelas,” katanya sewaktu mengajukan soalan tambahan dalam sesi ‘Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri’ di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau meminta Perdana Menteri menjelaskan tentang perancangan yang telah dibuat oleh kerajaan untuk memanfaatkan badan-badan yang sedia ada dalam negara ini.

“Seperti kita ada IMY, SBC, Majlis Kos Sara Hidup, Majlis Sosial Negara, supaya semua platform ini dimanfaatkan sebagai medium untuk menoktahkan kemiskinan.

“Apakah intervensi yang dirangka untuk meningkatkan NDI isi rumah khususnya bagi golongan miskin tegar dan sejauh mana keberkesanan langkah-langkah ini bagi mengurangkan kadar kemiskinan tegar di negara ini?

“Bagaimana kerajaan untuk memastikan bahawa data ini tepat dan terkini untuk mengukur keadaan sebenar kehidupan rakyat?” soalnya.

Beliau dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini usaha Kerajaan untuk menoktahkan miskin tegar sebagaimana janji YAB Perdana Menteri pada tahun 2023 dan apakah mekanisme yang digunakan bagi menentukan kategori miskin tegar.

Anwar dalam jawapannya berkata, pihaknya bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri dalam mendapatkan data-data tersebut.

“Saya sebut dalam jawapan tadi ia bukan satu pendekatan yang sempurna tetapi mengikut angka yang diberikan setakat ini, sekian selesai untuk tahun pertama, tambah 22,000, hampir selesai dan saya yakin boleh selesai.

“Tetapi apakah ini memuaskan? Tidak,” katanya.

Jelasnya, untuk isu itu beliau meminta kerjasama daripada jentera Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan-kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 22/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -