KUALA LUMPUR: “Mengapa laporan Bloomberg mengenai Setiausaha Perdana Menteri berhubung urusan beli saham bernilai jutaan ringgit tidak disaman?”
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan berkata demikian dalam mempersoalkan tindakan kerajaan tersebut terhadap laporan media Bloomberg yang tular pada 26 September yang lalu.
“Saya hairan mengapa laporan Bloomberg yang mendakwa Perdana Menteri meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berhubung kes beli saham bernilai jutaan ringgit tidak dikenakan tindakan saman.
“Akan tetapi jika apa yang dikatakan oleh ahli-ahli Perikatan Nasional (PN) maka cepat dan laju mereka disaman,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Menurut beliau, terdapat seorang Menteri dalam kerajaan ini yang menyatakan bahawa mana-mana individu yang ingin mengetahui keadaan sebenar boleh melihat laporan Bloomberg.
“Saya teringat pernah ada seorang individu yang bergelar Menteri dalam kerajaan hari ini ada menyebut, ‘kalau nak tahu keadaan sebenar, bacalah Bloomberg’.
“Maka, timbulnya satu persoalan iaitu adakah laporan Bloomberg siarkan mengenai perkara tersebut adalah benar?” soalnya.
Sehubungan itu, Wan Saiful menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membersihkan namanya mengenai isu sebegini.
Kata beliau lagi, ini bertujuan supaya rakyat tidak tertanya-tanya mengenai kredibilitinya sebagai seorang pentadbir negara ini.
“Saya cadangkan beliau bersihkan namanya agar rakyat tidak tertanya-tanya mengenai kredibiliti institusi Perdana Menteri seperti laungannya ketika reformasi dahulu iaitu pentadbiran bersih dan tatakelola yang baik,” katanya.
Terdahulu, media Bloomberg pada 26 September yang lalu melaporkan Perdana Menteri mengarahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki bagi melakukan siasatan terhadap Tun Dr Daim Zainuddin dan anak-anaknya.
Laporan tersebut mendedahkan bahawa Perdana Menteri mengarahkan beliau untuk tidak melakukan sebarang siasatan terhadap bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berhubung kes pembelian saham bernilai jutaan ringgit. – HARAKAHDAILY 22/10/2024