Kementerian Digital harus terajui aspek ekosistem digital

Dato’ Seri Saifuddin Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota), mencadangkan agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta bidang kuasa infrastruktur digital disusun semula dan dipindahkan kepada Kementerian Digital.

Beliau berkata, kementerian tersebut seharusnya menerajui keseluruhan ekosistem digital negara bagi memastikan kelestarian dan penyelenggaraan yang lebih menyeluruh.

“Kementerian Digital seharusnya menerajui setiap aspek ekosistem digital supaya ekosistem ini dapat diselenggara secara holistik dan mampan.

- Advertisement -

“Ini penting untuk memastikan Malaysia dapat membina dan memupuk ekosistem digital yang bertaraf dunia dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, infrastruktur digital merupakan asas penting bagi pendigitalan negara dan memainkan peranan utama dalam ekonomi digital serta hubungan serantau, terutamanya dalam kalangan negara-negara ASEAN.

“Adalah tidak munasabah jika Kementerian Digital yang diberi mandat untuk mengurus aspek digital negara tidak mempunyai kuasa ke atas infrastruktur digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Saifuddin turut menambah bahawa dua daripada tiga peranan utama SKMM iaitu mengawal selia infrastruktur digital dan merancang keperluan infrastruktur untuk masa depan adalah lebih relevan untuk berada di bawah bidang kuasa Kementerian Digital. – HARAKAHDAILY 22/10/2024

- Advertisement -