KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menjelaskan pembinaan jambatan Pengkalan Kubor, Tumpat yang merujuk kepada Jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai yang telah pun disebut oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, ia merupakan dua perkara yang berbeza antara Tak Bai dan Tumpat kerana antara Pengkalan Kubor kedua-duanya adalah daratan.
“Perkara ini sangat memerlukan penjelasan kerana sekiranya penjabatan ini ditubuhkan ataupun dibina dengan segera ia akan membuka laluan baru perdagangan dan kerjasama serantau sekali gus menghidupkan bandar-bandar sempadan.
“Seterusnya, perkara itu akan mempercepatkan pembangunan ekonomi tempatan terutamanya di Tumpat,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mumtaz berkata, beliau mengharapkan agar kerajaan dapat memberikan perhatian kepada perkara tersebut kerana ia akan membabitkan beberapa perkara.
“Terutamanya kepada pembangunan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor dan juga pembangunan yang lain yang berkaitan seperti Hospital Tumpat dan institusi pengajian tinggi (IPT) Tumpat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa tidak ada satu pun IPT di Tumpat walaupun telah melebihi 200,000 rakyat.
“Saya mohon kepada pihak kerajaan memastikan bahawa pembangunan dan keseimbangan dari segi pembangunan insan ini harus didapati dan diseimbangkan dengan memberikan peruntukan yang sama terutamanya institusi pendidikan kepada rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/10/2024