ECRL: Projek EAP menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) seperti yang sedia maklum merupakan projek landasan kereta api sejauh 665 kilometer yang menghubungkan kawasan Lembah Klang dan bandar-bandar utama di Pantai Timur iaitu Bentong, Temerloh, Kuantan, Kemaman, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

Menurut Menteri Pengangkutan, projek itu dijangka akan memberi impak aglomerasi yang dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan perkembangan industri di sepanjang koridor ECRL.

Bagi tujuan itu, ujarnya beberapa Projek Pemacu Ekonomi atau Economic Accelarator Project (EAP) telah dirancang.

- Advertisement -

Katanya, EAP turut merangkumi taman perindustrian, hab logistik dan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Selain itu, ujarnya sebarang projek pembangunan yang berkaitan dengan projek ECRL seperti hab kargo (cargo hub), pusat pelancongan dan lain-lain aktiviti ekonomi yang dapat meningkatkan penggunaan rel dan kargo, boleh diambil kira sebagai pembangunan EAP.

Tambahnya, sebanyak 14 TOD, 11 taman perindustrian, dan 6 hab logistik telah dikenal pasti untuk dibangunkan di sepanjang jajaran koridor ECRL.

“Daripada jumlah tersebut, 6 TOD, 4 taman perindustrian dan 1 hab logistik dirancang bagi negeri Terengganu,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar [PN-Kemaman] di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Samsuri dalam soalannya meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sejauh manakah Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) sedang dan akan dibangunkan sehingga kini di sekitar jajaran ECRL terutama di negeri Terengganu.

Menurut menteri itu lagi, lokasnya iaitu Stesen Jerteh – 1 TOD kediaman dan komersial,   Stesen Bandar Permaisuri – 1 TOD kediaman dan komersial, Stesen Kuala Terengganu – 1 TOD kediaman dan komersial, Stesen Dungun – 1 TOD kediaman dan komersial, 2 taman perindustrian dan 1 hab logistik, Stesen Kemasik – 1 TOD kediaman dan komersial serta 1 taman perindustrian dan Stesen Chukai – 1 TOD kediaman dan komersial serta 1 taman perindustrian.

Katanya, projek-projek EAP juga akan dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi di setiap negeri yang terlibat.

Tambahnya, jangkaan peningkatan KDNK di negeri Terengganu khususnya bagi tempoh bermula dari tahun 2020 sehingga tahun 2047 adalah meningkat daripada RM34 bilion (2020) kepada RM54.5 bilion (2047).

“Pada masa ini, tarikh siap projek ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu, Kelantan sehingga ITT Gombak, Selangor seperti yang dijadualkan iaitu pada 31 Disember 2026 manakala tarikh siap Fasa 2 iaitu dari Gombak sehingga ke Pelabuhan Klang, Selangor dijadualkan pada 31 Disember 2027. – HARAKAHDAILY 22/10/2024