KUALA LUMPUR: “Apakah sampai rakyat perlu berdoa untuk kematian wakil rakyat mereka supaya mereka mendapatkan kembali bekalan beras tempatan?” kata Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena).
Beliau menyuarakan kebimbangan berkenaan disebabkan krisis kekurangan beras tempatan di negara ini semakin serius.
Menurutnya, semasa beliau menziarahi mangsa banjir baru-baru ini, ramai rakyat menyuarakan keresahan mereka terhadap ketiadaan beras tempatan.
“Dalam keadaan krisis sedemikian, maka apa yang menjadi keutamaan kepada kita adalah soal makanan khususnya beras.
“Sangat mendukacitakan apabila bekalan beras tempatan di pasaran domestik terus menghilang dan tidak ditangani dengan cermat oleh kementerian, sedangkan data menunjukkan pengeluaran beras tempatan bagi tahun 2023 adalah 1.4 juta tan, menurun daripada 1.6 juta tan pada tahun 2022, manakala import beras adalah 1.3 juta tan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu menambah, kebergantungan Malaysia terhadap import dalam subsektor agromakanan juga semakin tinggi, yang mencatatkan peningkatan mendadak dalam tempoh satu dekad.
Kata beliau, pada 2013, jumlah import dalam sektor itu adalah RM38.8 bilion, namun pada 2023, jumlah telah melonjak kepada RM78.7 bilion.
“Meskipun dalam tempoh yang sama kerajaan telah mula merangka dasar keselamatan makanan yang semakin jitu, hakikatnya tahap sara diri subsektor ini semakin jauh daripada apa yang diharapkan.
“Kita bimbang risiko ketidaktentuan geopolitik dan pasaran global pada hari ini menyebabkan negara berhadapan krisis makanan yang semakin meruncing,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/10/2024