PADANG BESAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sekolah Rendah Islam (SRI) At-Taqwa, di sini hari ini.
Program melibatkan semua murid bersama 18 tenaga pengajar daripada UniMAP yang julung kali diadakan itu dilihat telah berjaya mencetuskan minat mendalam murid terhadap STEM khususnya kepada sains dan teknologi.
Bersempena dengan program ini, lapan projek STEM yang menarik dan menyerlah kreativiti futuristik telah dijalankan bagi memberi pendedahan awal kepada murid mengenai teknologi melalui pendekatan secara langsung (hands-on).
Mudir SRI At-Taqwa, Ustaz Azamhari Mohamood berkata, program seumpama ini memberi peluang besar untuk murid-murid meneroka pelbagai aspek sains dan teknologi dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan.
“Alhamdulillah program hari ini berjaya memperkenalkan murid-murid kepada ilmu baru yang membuka mata mereka terhadap aplikasi STEM dalam kehidupan seharian,” katanya kepada Harakahdaily, di sini.
Reaksi murid-murid sangat memberangsangkan apabila mereka menunjukkan rasa teruja dan minat yang tinggi terhadap setiap aktiviti dijalankan sepanjang program ini serta penerangan daripada tenaga pengajar.
Program ini dilihat bukan sahaja berjaya mencungkil bakat baru di kalangan murid, malah turut memupuk kemahiran penyelesaian masalah dan meningkatkan minat mereka dalam bidang teknologi.
Menurut Ustaz Azamhari lagi, program ini juga merupakan inisiatif julung kali diadakan SRI At-Taqwa sempena Minggu Sains Negara (MSN) yang sedang berlangsung ketika ini.
“Selepas ini, jika ada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lain yang berminat untuk menganjurkan program serupa, kami amat mengalu-alukan kedatangan mereka.
“Kita harap program ini akan menjadi titik tolak untuk memperkasa minat pelajar terhadap sains dan teknologi serta membina masa depan yang lebih cemerlang dalam bidang akademik,” katanya lagi.
Antara projek-projek menarik yang dijalankan dalam program ini adalah Dakwat Halimunan, Susu Pelangi, Elektrik Sitrus dan Membuat Sabun Sendiri.
Juga Tumpahan Minyak (Pencemaran Minyak), Kereta Solar, Roket Botol dan Sistem Hidraulik. – HARAKAHDAILY 22/10/2024