KUALA LUMPUR: “Bantuan kerajaan mengikut kelas pendapatan yang diumumkan dalam belanjawan tahun ini mungkin menyebabkan ada golongan yang sering tersisih iaitu golongan miskin bandar.”
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, ia adalah susulan sebahagian daripada mereka terperangkap dalam pengelasan yang tidak adil terutama bagi golongan berpendapatan sederhana tinggi atau M40 yang membayar cukai pendapatan kepada negara.
Menurutnya, kebanyakan miskin bandar terdiri daripada golongan bekerja yang terpaksa menanggung pelbagai komitmen tambahan lain seperti kos jagaan anak, kos minyak dan tol untuk perjalanan harian di samping sewa rumah dan belanja makanan asas yang lebih tinggi berbanding di luar bandar.
“Fasiliti kesihatan kerajaan seperti klinik dan hospital juga lebih sesak di bandar menyebabkan mereka terpaksa menggunakan perkhidmatan swasta untuk kes kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Zurk, berdasarkan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah, secara purata isi rumah di Malaysia berbelanja RM5,150 sebulan pada 2022 dengan saiz isi rumah empat orang dan lebih.
“Jumlah perbelanjaan tersebut menyamai jumlah pendapatan golongan M40 bawah yang sudah tergolong dalam miskin bandar,” ujarnya.
Beliau menyatakan, sewajarnya miskin bandar yang melibatkan pelbagai latar belakang masyarakat mendapat bantuan sosial lain berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah.
“Contohnya pengurangan bayaran atau pelepasan tertentu daripada pelbagai bebanan cukai yang ditambah kerajaan.
“Mereka juga terkesan dengan kos sara hidup hari ini yang tinggi di bandar akibat kenaikan harga barang tidak menentu,” jelasnya.
Zurk menegaskan, janji Menteri Ekonomi pada tahun lepas untuk menghapuskan mekanisme pengkelasan pendapatan secara berperingkat mulai awal tahun ini perlu diberi tumpuan secara serius.
“Usaha yang sepatutnya direalisasikan menggunakan sistem PADU seperti yang diuar-uarkan perlu diteliti semula sepadan dengan kos yang telah diperuntukkan untuk membangun sistem tersebut.
“Semoga nasib miskin bandar juga terbela kerana sebahagian besar mereka adalah golongan pembayar cukai yang menyumbang banyak kepada hasil pendapatan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/10/2024