KUALA LUMPUR: Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN- Kubang Pasu) mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri mengenai pelan khusus kerajaan bagi menjayakan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
“Pelan ini diumumkan semasa Kongres Ekonomi Bumiputera (CEB24) pada Mac 2024, menyasarkan peningkatan ekuiti bumiputera dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kepada 20 peratus menjelang 2035,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Waktu Pertanyaan- Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau juga memohon penjelasan mengenai langkah-langkah strategik yang diambil kerajaan untuk memastikan sasaran ini tercapai.
Menurutnya, PuTERA35 bukan sahaja perlu memfokuskan kepada peningkatan penguasaan ekuiti, tetapi juga memperkasakan peranan Bumiputera dalam ekonomi negara secara lebih menyeluruh.
Beliau turut menyentuh mengenai penggabungan tiga bank utama negara iaitu Bank Pembangunan, Exim Bank dan SME Bank yang diumumkan pada 22 Ogos 2024.
“Saya minta kerajaan menjelaskan kajian yang telah dijalankan mengenai kesan penggabungan ini terhadap sektor perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PKMS) bumiputera,” ujarnya lagi.
Katanya, kebimbangan bahawa penggabungan itu mungkin menjejaskan usahawan Bumiputera yang bergantung kepada pembiayaan daripada bank-bank tersebut terutamanya kerana setiap bank sebelum ini menawarkan kemudahan pembiayaan khusus kepada pelbagai kluster perniagaan yang berbeza.
“PKMS menyumbang RM613 bilion kepada ekonomi negara pada tahun 2023 dan penting untuk memastikan penggabungan ini tidak menghalang pertumbuhan sektor tersebut,” tambahnya.
Selain itu, beliau turut meminta maklumat terkini mengenai peruntukan RM1 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 2024 untuk menyokong pelbagai segmen usahawan bumiputera melalui BSN, Agrobank, dan Tekun Nasional.
Beliau ingin mengetahui jumlah sebenar yang telah disalurkan setakat ini, serta impaknya kepada pembangunan usahawan Bumiputera dalam sektor PKMS.
Selain itu, Ku Abd Rahman juga meminta penjelasan mengenai strategi kerajaan dalam penjajaran semula tiga agensi penting yang terlibat dalam pembangunan bumiputera, iaitu Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Yayasan Peneraju dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas). – HARAKAHDAILY 22/10/2024