KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan diminta menjelaskan mengenai mekanisme tebus tunai yang melibatkan pemberian baucar buku kepada pelajar.
Ustaz Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) mempersoalkan tindakan yang akan diambil terhadap ejen yang dilantik sekiranya didapati melakukan penipuan dengan menggunakan wang tunai.
“Apakah tindakan yang akan diambil sekiranya mana-mana ejen yang dilantik itu melakukan wang tunai (cash money) ini sekiranya dapat bertindak dan dia dapat kesalahan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau juga menegaskan keperluan untuk memastikan ketelusan dalam proses pemberian bantuan tersebut.
“Yang kedua, mekanisme bagaimana untuk mengurangkan atau mengelakkan pelajar daripada tercicir dalam kelayakan menerima baucar, serta kriteria yang diperlukan untuk melayakkan seorang pelajar mendapatkan bantuan itu,” katanya lagi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pihak kementerian berkomitmen untuk memastikan proses demikian berjalan lancar.
“Tetapi jika ada juga berlaku, kedai berkenaan akan disenarai hitam,” katanya.
Pada soalan asal, Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) meminta untuk mendapatkan status terkini mengenai pemberian baucar buku yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan jumlah peruntukan yang disediakan untuk inisiatif tersebut. – HARAKAHDAILY 22/10/2024