PAPAR: PAS Kawasan Papar turun ke lapangan bertemu masyarakat sekitar sebagai menyahut seruan berbakti kepada semua penduduk DUN Pantai Manis.
PAS kawasan telah menyusun agenda kebajikan untuk turun menziarahi penduduk sasar seperti miskin, orang sakit, ibu tunggal dan anak yatim pada setiap minggu.
“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, kami yakin pasti ada golongan yang terkesan dan perlu disantuni untuk memberi harapan terus cekal mengharungi kehidupan,” kata Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Papar, Adsman Jupri.
Beliau berkata demikian ketika menziarahi Abd Halim Ali Hussin di Kampung Tengah Benoni yang baru sahaja menjalani pembedahan kerana mengalami penyakit batu karang.
Hadir sama dalam ziarah itu ialah Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Azmi Dalin dan Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan, Azizah Salleh.
“Semoga dengan kehadiran kami ini dapat memberi keceriaan dan kekuatan kepada keluarga Abd Halim,” katanya.
Pada kesempatan itu, beliau turut mentahnik cucu kedua Abd Halim.
“Anak-anak ialah amanah yang dikurniakan Allah buat semua insan selain diberi didikan duniawi anak-anak juga perlu diwarnakan dengan kefahaman tentang agama,” katanya lagi.
Menurutnya, program seumpama itu akan diteruskan setiap minggu bagi menziarahi golongan yang memerlukan bantuan sama ada kebendaan mahupun sokongan moral. – HARAKAHDAILY 21/10/2024