Sidang tangguh awal, tidak cukup kuorum  

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat malam ini terpaksa ditangguhkan lebih awal akibat kekurangan kuorum yang diperlukan untuk meneruskan persidangan.

Persidangan ditangguhkan sekitar jam 7.30 malam setelah Speaker mengarahkan loceng dibunyikan selama dua minit bagi memanggil Ahli-ahli Parlimen masuk ke dalam dewan.

Ia ditangguhkan setelah jumlah Ahli Parlimen yang hadir hanya berjumlah 19 orang berbanding jumlah minimum yang diperlukan iaitu seramai 26 orang setelah loceng berhenti.

Terdahulu Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 13 (1) berkaitan dengan kuorum memandangkan terlalu kurang bilangan Ahli Parlimen yang ada dalam Dewan.

- Advertisement -

Namun SN Rayer (PH-Jelutong) kemudiannya bangun mempertahankan bahawa ramai Ahli Parlimen Kerajaan sedang solat di surau mencetuskan perang mulut beliau dengan Marzuk dan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor).

Rayer: Tuan Yang Dipertua, ini adalah masa waktu Maghrib, ada ramai yang solat di surau dan saya percaya…

Marzuk: Saya dah tengok di surau tak ada pun. Saya pergi surau tadi, tak ada yang disebut oleh Yang Berhormat…kecuali Yang Berhormat pergi surau…

Rayer: Ada ramai di surau lagi Yang Berhormat. Tolonglah semak dulu. Ini waktu Maghrib. Tolong hormati…

Marzuk: Biar Speaker buat rulling. Tak payah Jelutong buat rulling.

Rayer: Tak apalah. Parti PAS hormatilah hak mereka untuk pergi solat…

Marzuk: Ini tiada kaitan dengan PAS, ini hak Ahli Parlimen untuk berbahas. Lawyer macam mana ni tak tahu peraturan?

Hasnizan: Maghrib masuk pukul 7.00 malam tuan.

Waktu itu masa menunjukkan jam 7.30 malam dengan dengan sekitar lima orang sahaja yang masuk selepas dibunyikan loceng dengan majoriti yang masuk adalah Ahli Parlimen bukan Muslim tidak menepati dakwaan Rayer bahawa ramai lagi Ahli Parlimen Muslim sedang solat di surau.

“Kerajaan pastikan cukup kuorum,” kata Marzuk sebaik sidang ditangguhkan. – HARAKAHDAILY 21/10/2024