JOHOR BAHRU: PAS Negeri Johor akan mengadakan Sambutan 70 Tahun PAS negeri itu pada tarikh 8 dan 9 November ini, demikian maklum Ketua Penerangannya, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni.
Menurut beliau, tarikh keramat itu diputuskan setelah program tertangguh beberapa kali akibat bertembung dengan beberapa peristiwa penting yang tidak dapat dielakkan.
“Pada asalnya kita dah tetapkan tarikh pada 28 September tetapi berlaku pertembungan apabila Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota berlaku pada tarikh tersebut.
“Manakala tarikh-tarikh lain pula berlaku pertembungan dengan program PAS atau Perikatan Nasional Pusat,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, semalam.
Kata beliau lagi, lokasi bakal berlangsungnya sambutan tersebut iaitu di Kompleks PAS (KomPAS) Batu Pahat, adalah lokasi asal yang menjadi pilihan PAS Johor pada tarikh-tarikh yang telah diputuskan sebelum itu.
“Ia memandangkan KomPAS Batu Pahat ni adalah markas terbesar yang terdapat di Johor dan mempunyai kawasan yang agak luas serta fasiliti yang agak lengkap.
“Manakala tarikh terkini pula dipilih dengan persetujuan PAS Pusat untuk pimpinan Pusat turun sekali mengadakan Mesyuarat PAS Pusat di Johor sempena Sambutan 70 tahun PAS Johor ini,” katanya.
Antara pengisian utama program itu, menurut beliau, ialah ‘Bicara mantan-mantan PJ PAS Johor’; Solidariti Palestine dan Pentas Anak muda dengan penampilan Khas Menteri Besar Kedah.
Juga Ceramah Perdana dengan penampilan khas Presiden PAS, Tan Sri Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan banyak lagi.
“Kami mengharapkan sambutan luar biasa daripada ahli PAS Johor semua peringkat, bahkan kami juga menjemput ahli PAS seluruh Malaysia dan seluruh masyarakat amnya untuk turun ke Johor.
“Ia bagi menjayakan program penting ini sebagai tanda sokongan dan lambang persediaan PAS Johor menghadapi Pilihan Raya Negeri atau Pilihan Raya Umum yang semakin hampir,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/10/2024