ARAU: Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menganjurkan Karnival Minggu Sains Negara 2024.
Penganjuran Peringkat Negeri Perlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli ini bermula semalam dan hari ini di mana berlangsung di Dewan Seri Semarak, UiTM Kampus Arau, di sini.
Perasmian karnival ini turut dihadiri oleh delegasi MOSTI, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan dan agensi, penjawat awam, pelajar, serta masyarakat setempat.
Karnival ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan rakyat negeri Perlis.
Tema “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi” yang diangkat oleh MOSTI pada pelancaran rasmi Minggu Sains Negara (MSN) 2024 pada April lalu menjadi asas kepada penganjuran karnival ini.
Antara objektif utama karnival ini adalah untuk meraikan pelbagai teknologi dan inovasi yang terdapat di Negeri Perlis serta memberikan peluang kepada pengamal STI tempatan untuk mengetengahkan hasil inovasi mereka kepada orang ramai.
Pelbagai aktiviti menarik diatur sepanjang dua hari karnival ini, termasuk Pameran STEM oleh pelbagai jabatan dan institusi pendidikan, serta pertandingan seperti Robot Sumo, Alat Kawalan Jauh (RC) Jet, Explorace dan STEM Talent Show.
Program-program tambahan juga diadakan, antaranya derma darah oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, program kesedaran oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta jualan trak makanan.
Kerajaan Negeri Perlis turut bekerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi, termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, dalam usaha menjayakan karnival ini.
Karnival ini menjadi platform untuk memperkenalkan teknologi baharu, mencungkil bakat, serta menarik minat generasi muda, khususnya pelajar dan belia, dalam bidang sains dan teknologi.
Selain itu, ia membuka peluang kepada anak-anak negeri Perlis untuk terlibat secara aktif dalam membudayakan STI demi masa depan negara. – HARAKAHDAILY 21/10/2024