KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis memberi sokongan penuh terhadap pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan rakyat melalui penganjuran Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2024.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli yang merasmikan penganjuran tersebut dalam ucapannya telah menekankan kepentingan STI dalam pembangunan masyarakat moden.
“Karnival ini meraikan kepelbagaian teknologi yang berkembang di negeri Perlis dan memberi peluang kepada pengamal STI tempatan untuk berkongsi hasil kerja mereka dengan masyarakat,” ujar beliau.
Acara tersebut berlangsung di Dewan Seri Semarak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Arau, di sini selama dua hari bermula semalam dan hari ini.
Karnival dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis dan UiTM Cawangan Perlis itu menampilkan lebih daripada 30 reruai pameran.
Mohd Shukri turut menyeru golongan pelajar dan belia agar mengambil peluang ini untuk mendekatkan diri dengan teknologi moden.
Beliau juga menggalakkan guru-guru untuk terus menyokong inisiatif seperti ini demi memastikan kelangsungan STI pada masa hadapan.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Teknologi Hijau Negeri, Megat Hashirat Hassan dam Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Ruziah Shafei.
Juga Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI MOSTI, Abdullah Daud serta Rektor UiTM Cawangan Negeri Perlis, Profesor Madya Ts Dr Shukor Sanim Mohd Fauzi. – HARAKAHDAILY 21/10/2024