Pelajar PTSS santuni, bantu asnaf di Kg Peseri Abi

- Advertisement -

KANGAR: Sekumpulan pelajar Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dari program Pengurusan Resort telah menyertai projek kebajikan sebagai sebahagian daripada penilaian kursus Etika dan Peradaban.

- Advertisement -

Mereka menjalankan aktiviti sumbangan kepada lima asnaf terpilih di Kampung Peseri Abi, semalam.

ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail turut mengiringi kumpulan pelajar ini dalam misi mereka, bersama dengan Pengerusi Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Abi Padang Machang, Shohib Arrumi Said.

Menurut salah seorang pelajar terlibat, Nur Ilya Yasmeen Abd Ghani, mereka mendapat inspirasi untuk projek ini setelah melihat maklumat mengenai golongan asnaf di media sosial Pejabat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR).

Menurut beliau, pihaknya cuba untuk menghubungi DUN tersebut dan telah mendapat maklumat balas positif dan sedia menyokong usaha mereka.

Sementara itu, Fakhrul Anwar berkata, beliau amat menyokong inisiatif yang dijalankan oleh para pelajar ini dan memuji komitmen mereka terhadap masyarakat.

“Sebagai wakil rakyat sejak beberapa tahun ini, saya sentiasa berusaha memastikan setiap lapisan masyarakat di kampung-kampung sekitar Bintong menerima bantuan yang sewajarnya,” ujarnya ketika ditemui.

Penerimaan penduduk kampung terhadap sumbangan ini juga amat positif, di mana projek sebegini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memberi manfaat kepada lebih ramai golongan yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 21/10/2024