KUALA LUMPUR: Memorandum persefahaman (MoU) antara pihak kerajaan dan pembangkang mengenai peruntukan ahli parlimen adalah suatu perkara yang perlu diambil kira dan melibatkan prinsip keadilan bagi kedua-dua pihak.
Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berkata, MoU tidak seharusnya dianggap sebagai sesuatu perkara yang boleh ‘diikat tangan’ kepada sesiapa sahaja.
“Apabila kita membaca MoU tersebut, kita merasakan seolah-olah kita ini ditekan supaya kalau nak sesuatu, mesti mengikuti segala apa yang dimahukan oleh kerajaan. Itu tidak adil lah.
“Contohnya hari ini, yang baik kita sokong, yang kurang baik kita berikan cadangan, yang tak baik kita bantah. Jangan seperti di sebelah sana (kerajaan).
“Contohnya seperti pindaan akta kewarganegaraan minggu lepas, kami sokong kerana ia baik. Jadi jangan mendesak atau menekankan supaya semua apa yang dikehendaki oleh kerajaan mesti diikuti oleh pembangkang,” katanya yang juga Ketua Pembangkang ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah beliau, tugas pembangkang di dalam dewan seharusnya berfungsi sebagai ‘check and balance’ kepada pihak kerajaan agar negara dapat menuju ke arah sesuatu yang boleh dibanggakan.
“Bukankah pembangkang ini menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan yang ada pada hari ini?
“Terbukti hari ini, kerajaan sentiasa berwaspada kerana ada pembangkang yang sentiasa akan melihat, yang baik diterima, yang kurang baik akan kita bangkang sehabis-habisnya.
“Inilah yang kita mahukan supaya negara ini menjadi sebuah negara yang benar-benar boleh menuju ke arah sesuatu yang boleh kita sama-sama banggakan.
“Kalau nak bagi (peruntukan), bagi lah kerana kita mahu kerajaan yang adil, apa salahnya? Beri untuk kepentingan siapa? Untuk kepentingan rakyat di bawah sana,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2024