Mengapa Wan Fayhsal tidak boleh hadir ke galeri awam?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pembangkang mempertikaikan tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang melarang Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal untuk berada di galeri awam Parlimen.

Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia berdasarkan surat yang dikeluarkan oleh Speaker kepada Ahli Parlimen Machang itu pada 15 Oktober lepas berkaitan penggantungannya selama enam bulan bermula Julai lalu.

Menurutnya, surat itu menyebut bahawa Wan Fayhsal  tidak dibenarkan berada di dalam Dewan Rakyat termasuk galeri awam dan tempat pegawai bertugas, namun boleh berada di pekarangan kompleks Parlimen.

“Bahagian apa (Peraturan Mesyuarat) duduk di galeri awam boleh bercakap, boleh boleh bertanya di situ? Tak boleh.

- Advertisement -

“Yang Berhormat, jadi ini apakah Kerajaan Madani ini satu lagi tindakan untuk mengikis peranan-peranan yang boleh dimainkan oleh pembangkang?” soalnya.

Beliau merayu supaya Timbalan Speaker pada waktu itu, Dato’ Dr Ramli Mohd Nor agar mempertimbangkan keputusan itu yang dilihat tidak wajar kepada Ahli Parlimen Machang itu.

“Jadi saya minta sangat supaya Yang Berhormat selaku Speaker pada hari ini, buat satu petua. Apakah ini satu peraturan yang ditafsirkan sendiri oleh oleh Yang Dipertua,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) berkata, Peraturan Mesyuarat 44(3) tidak langsung menyentuh tentang Ahli Parlimen yang digantung tidak boleh berada di galeri awam.

“Kita pernah menggantung seorang Ahli Parlimen pembangkang pada dua sesi yang lalu selama beberapa hari dan diminta keluar daripada dewan ini tetapi tidak keluar dan berada dewan.

“Bukan sahaja hari kejadian, tetapi hari selanjutnya berada di tempat duduk tetapi tidak melibatkan diri dalam perbahasan. Tetapi dia hadir hari berikutnya, Ahli Parlimen pembangkang ketika,” katanya.

Sementara itu, Ramli dalam keputusannya berkata, keputusan untuk menetapkan di mana seseorang Ahli Parlimen yang digantung boleh berada adalah di bawah kuasa Speaker dan beliau tidak boleh melangkaui kuasa Speaker di bawah Peraturan Mesyuarat 44.

Takiyuddin: Maksudnya Yang Berhormat tidak akan buat apa-apa petua atau rulling hari ini?

Ramli: Saya tidak akan buat keputusan bab ini kerana keputusan (Speaker) saya tak boleh ‘override’.

Takiyuddin: Boleh direkodkan, put on record, saya dibenarkan untuk membangkitkan semula apabila dipengerusikan oleh Speaker.

Ramli: Baik, untuk rekod majlis, saya membenarkan perkara ini supaya dibangkitkan semasa beradanya Speaker Dewan Rakyat di sini. – HARAKAHDAILY 21/10/2024