Kerajaan Malaysia digesa tukar nama IDF kepada Israel Devil Forces 

Susulan kekejaman tidak berperikemanusiaan menyerang dan membunuh banyak nyawa orang awam di pelbagai negara, IDF kini tidak lagi sesuai dikenali dengan nama Angkatan Pertahanan Israel atau Israel Defense Forces (IDF) tetapi lebih sesuai dikenali sebagai Angkatan Syaitan Israel (Israel Devil Forces).
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yayasan Isra’ Malaysia (ISRA’) menyeru kepada Kerajaan Malaysia, Parlimen Malaysia, media tempatan, dan masyarakat antarabangsa agar menukar nama Angkatan Pertahanan Israel (Israel Defense Forces atau IDF) kepada Israel Devil Forces (Angkatan Syaitan Israel).

Pengarah Strategik, Komunikasi & Advokasinya, Dr Mukhtaruddin Musa berkata, ia adalah susulan kekejaman tentera Israel dan tindakan tidak berperikemanusiaan terus berlanjutan. 

- Advertisement -

“Nyawa pimpinan pejuang Islam Palestin Hamas,  berterusan menjadi sasaran mereka. Selepas As-Syahid Ismael Haniyeh dibunuh pada 31 Julai lalu, kali ini pemimpin utama Hamas yang baru dilantik, As-Syahid Yahya Sinwar pula ditembak mati di rumah beliau yang telah dipindahkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kekejaman dan tindakan tidak berperikemanusiaan oleh tentera pengganas rejim Zionis, yang secara sistematik membunuh bayi, wanita, dan warga emas tanpa belas kasihan telah melampaui batas-batas kemanusiaan. 

“Ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak layak dikenali sebagai pasukan pertahanan. Sebaliknya, mereka lebih tepat digambarkan sebagai pasukan penjajah yang telah lama menindas Palestin,” ujarnya.

Tambah beliau, kekejaman yang dilakukan terhadap orang awam di Palestin yang tidak bersalah ini bukan sahaja satu bentuk genosid, tetapi juga lambang kejahatan perang dan jenayah kemanusiaan yang paling hina dalam sejarah moden.

“Atas dasar tindakan mereka ini, sudah tiba masanya masyarakat antarabangsa menolak penggunaan istilah ‘Defense’ (Pertahanan) dalam nama pasukan tersebut. 

“Tindakan kejam mereka hanya layak digambarkan sebagai perbuatan syaitan. Oleh itu, menggantikan Israel Defense Forces dengan Israel Devil Forces, yang mengekalkan akronim yang sama, IDF, lebih tepat untuk mencerminkan kejahatan mutlak mereka,” tegasnya.

Beliau menyatakan, pihaknya percaya bahawa penggunaan nama ‘Defense’ bukan sahaja tidak sesuai, malah ia mengaburkan pandangan dunia terhadap sifat sebenar kezaliman pengganas  rejim Zionis yang bersifat kejam dan tidak berperikemanusiaan. 

“Nama ini tidak sesuai bagi mereka yang terlibat dalam pembunuhan beramai- ramai, penyeksaan, dan pemusnahan kehidupan.

“Sekali lagi, kami menyeru kepada Kerajaan Malaysia, Parlimen Malaysia, media tempatan, dan masyarakat antarabangsa agar segera menghentikan penggunaan istilah ‘Israel Defense Forces’, supaya naratif yang salah ini tidak berterusan dan tidak merendahkan kecaman terhadap kekejaman rejim Zionis. 

“Kejahatan ini mesti dihentikan sekarang, dan kita mesti bersuara lantang menentang pengganas rejim yang zalim ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2024