Kerajaan dilihat ‘membelit’ data ekonomi

Datuk Dr Radzi Jidin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan pada hari ini dilihat seperti kerajaan yang mengolah dan membelitkan data-data ekonomi mengikut cita rasa mereka bagi menunjukkan bahawa merekalah yang ‘terpaling’ cerdik dalam dunia ini.

Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata, sudah menjadi kebiasaan bagi mana-mana kerajaan di dunia ini yang akan memainkan peranan penting apabila berlakunya krisis ekonomi di negara mereka.

“Di mana-mana sahaja negara di dunia, apabila berlaku krisis ekonomi, tentunya kerajaan memainkan peranan yang penting.

- Advertisement -

“Selain daripada rizab yang sedia ada, selain daripada hasil kerajaan yang semakin mengecil sewaktu krisis ekonomi dan krisis kesihatan pada waktu itu, tentunya hutang negara akan menjadi lebih tinggi,” katanya Ketika mencelah perbahasan Belanjawan 2025 oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau dalam pada itu sempat memetik laporan media pada 2021 berkenaan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada waktu itu agar lebih berani berbelanja untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dan menyelamatkan negara dari kancah kemelesetan.

“Nak belanja ni duit dari mana? Saya nak tanya yang pakar-pakar ni, yang sembang kononnya hutang tinggi dan sebagainya. Kita tahu hutang tinggi, tapi kena tengok konteks hutang tersebut dibuat.

“Jadi apa yang saya nak tekankan di sini, kerajaan yang ada pada hari ini menggunakan data ekonomi, menggunakan dalil-dalil ekonomi, berbelit-belit bagi menunjukkan mereka terpaling cerdik.

“Bila ringgit jatuh, mereka senyap. Bila ringgit merudum, mereka senyap. Ringgit naik balik, ‘inilah kejayaan kami’, inilah dia (kerajaan),” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2024