KOTA BHARU: Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud melahirkan rasa syukur kerana Kelantan dilaporkan sebagai negeri kedua paling selamat di Malaysia.
Beliau berkata, maklumat tersebut berdasar laporan terkini mengenai kadar jenayah di Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Kelantan tangga kedua negeri paling selamat di Malaysia. Kita bersama membina Kelantan Maju Rakyat Sejahtera, insya-Allah,” katanya pada hantaran Facebooknya hari ini.
Menurut kenyataan DOSM, Sabah mencatatkan indeks jenayah paling rendah dengan skor 95, menjadikannya negeri yang paling selamat di negara ini pada tahun 2023.
Kedudukan kedua Kelantan dengan indeks jenayah 96, manakala Terengganu berada di tangga ketiga dengan skor 100.
Merujuk laporan Jabatan Perangkaan Malaysia tahap jenayah di Malaysia dilaporkan meningkat sebanyak 3.2 peratus tahun lalu, dengan indeks jenayah keseluruhan melibatkan kes serangan dan jenayah harta benda naik kepada 52,444 kes berbanding 50,813 kes tahun sebelumnya.
Ini bermakna kadar jenayah bagi setiap 100,000 penduduk turut meningkat kepada 149 berbanding 146 pada tahun 2022.
Lima negeri mencatatkan kadar jenayah lebih tinggi daripada purata nasional iaitu Kuala Lumpur mencatatkan angka tertinggi dengan kadar 221, diikuti Selangor (196), Kedah dan Pulau Pinang masing-masing (193), serta Negeri Sembilan (159).
Pada pertengahan tahun ini Malaysia berada pada kedudukan ke-10 sebagai negara paling selamat di dunia secara keseluruhan dalam Kedudukan Indeks Keamanan Global (GPI) 2024.
Laporan yang diterbitkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan yang berpangkalan di Sydney, Australia turut mengangkat Malaysia sebagai negara ketiga paling selamat di Asia Pasifik, di belakang New Zealand dan Singapura. – HARAKAHDAILY 21/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!