KOTA BHARU: Komitmen kerajaan negeri mengurangkan kadar jenayah membuah hasil apabila Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan Kelantan merekodkan nisbah jenayah indeks terendah.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, ia merupakan kejayaan pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) digagaskan sejak 1990.
Selain itu katanya kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) merangka pelbagai program dan aktiviti bagi membanteras gejala tidak sihat.
“Alhamdulillah kita yakin bahawa dasar Membangun Bersama Islam mengubah persepsi dan tindakan masyarakat tidak melakukan jenayah.
“Jadi orang nak buat (jenayah) itu yang boleh merekodkan nisbah jenayah indeks terendah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri solat hajat memohon keselamatan daripada bencana banjir di Masjid Jamek Muhammadi di sini hari ini.
Jabatan Perangkaan Malaysia menerbitkan Statistik Jenayah, Malaysia 2024 yang mengandungi statistik siri masa daripada 2021 hingga 2023 yang merangkumi sembilan statistik jenayah.
Sabah merekodkan nisbah jenayah indeks terendah pada 2023 iaitu 95, diikuti Kelantan (96) dan Terengganu (100).
Mohd Asri juga berkata, kerajaan negeri turut mengubal Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) dan terbaru melancarkan Komuniti Rabbani (K-Rabb).
Katanya, DPRK dilaksanakan sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan K-RABB melibatkan masyarakat.
Menurutnya menjadi hasrat kerajaan negeri untuk membudayakan kehidupan rakyat dalam landasan ajaran agama Islam sekali gus menangani gejala sosial yang membarah dalam masyarakat.
Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini meramalkan Kelantan bakal berhadapan dengan banjir besar tahun ini yang dijangka bermula pada November 2024 sehingga Februari 2025. – HARAKAHDAILY 21/10/2024