KUALA TERENGGANU: “Inilah lori yang pernah jadi tempat arwah Aiman cari rezeki,” kata Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim. (Foto atas)
Beliau menyatakan demikian menerusi laman sosialnya hari ini susulan kematian pekerja pembersihan, Muhammad Sahrul Aiman Anuar, 20, pada pagi Rabu lalu.
Aiman dilaporkan maut akibat dirempuh sebuah Proton Saga dalam kejadian di Kampung Jabi.
“Mereka mula bekerja dari jam 4 pagi demi memastikan persekitaran kita bersih,” ujar Dr Azman.
Tambahnya, seribu satu macam kotoran dan bau mereka hadapi demi sesuap rezeki yang halal.
“Terima kasih semua wira yang tak didendang,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri.
Katanya, pada pagi ini beliau mendengar kisah peristiwa yang menyedihkan itu daripada saksi mata yang merupakan rakan-rakan sekerja arwah Aiman pada hari kejadian.
“Ianya tak sama dengan apa yang dilaporkan dalam media. Kita serahkan urusan kepada pihak berkuasa,” ujarnya lagi.
Menerusi catatan pada hari kejadian, Dr Azman menyatakan Aiman yang terkorban dalam tragedi menyayat hati itu merupakan bekas pelajar tahfiz.
Menurutnya, arwah bekerja sementara bagi membantu keluarga.
“Setiap hari keluar rumah jam 4 pagi untuk mula bekerja memungut sampah. Pagi semalam berakhir perjalanan arwah di dunia ini,” ujarnya.
Sementara itu, bonda arwah, Rosnani Md Yusof berkata, anaknya itu memutuskan tidak meneruskan pengajian di sebuah pusat tahfiz selepas bapanya mengalami masalah kesihatan.
Memetik laporan media, katanya, Aiman memilih untuk bekerja bagi membantu meringankan bebanan keluarga selepas ayahnya mengalami masalah penglihatan dan tidak boleh memandu kereta.
“Aiman seorang anak yang baik, dia tidak memilih kerja. Dia pernah kerja di sebuah gerai keropok. Dia ada juga mohon bekerja di sebuah ladang lada hitam. Namun memutuskan untuk kerja pungut sampah sementara menunggu panggilan temu duga,” ujarnya seperti dipetik Sinar Harian. – HARAKAHDAILY 21/10/2024
.