Dedah trend terkini, cabaran masa depan media ASEAN

- Advertisement -

ARAU: Forum Industri Media dan Pendidikan ASEAN (AMIEF2024) yang pertama kali dianjurkan membuka pelantar strategik bagi mengukuhkan kerjasama antara negara-negara ASEAN dalam bidang media dan pendidikan.

- Advertisement -

Forum dianjurkan oleh Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ini berlangsung di Auditorium Canselori UniMAP, di sini hari ini.

Ketua Pengarah IPPTAR, Roslan Ariffin berkata, AMIEF2024 berperanan sebagai platform penting untuk pendedahan terhadap trend terkini dan cabaran masa depan dalam industri media dan penyiaran.

Forum ini juga memberi peluang kepada para pelajar, pengamal industri, serta kakitangan awam untuk memahami keperluan kerjaya dalam sektor media yang semakin berkembang di rantau ASEAN.

“AMIEF2024 menyediakan ruang kolaborasi antara pemain industri media dan akademik, memastikan kelangsungan hubungan erat antara dua sektor penting ini.

“(Ia) untuk menghasilkan tenaga kerja yang berdaya saing dan inovatif dalam menghadapi cabaran media masa depan,” kata Roslan.

Lebih 300 peserta menyertai forum ini dengan menampilkan dua sesi panel utama, iaitu “Cabaran dan Harapan Media Masa Depan” dan “Merapatkan Jurang Perbezaan dalam Industri Media”.

Panelis adalah Dr Rudianto dari Universiti Muhammadiyah, Indonesia dan Dr Attanan Tachopisalwong dari Universiti Walailak, Thailand serta Ahmad Saifullizam Arshad dari industri media Malaysia.

Mereka berkongsi pandangan mengenai perubahan landskap digital dan keperluan untuk inovasi dalam kewartawanan serta penyiaran.

Dr Rudianto menekankan, kemunculan teknologi digital telah merevolusikan cara berita dihasilkan dan disampaikan, termasuk kepentingan kewartawanan data dalam menyampaikan berita yang mendalam dan bermaklumat.

Dr Attanan pula menyuarakan kebimbangan mengenai penyebaran maklumat palsu yang kerap berlaku dalam media sosial, serta peranan pengaruh besar dimainkan oleh pempengaruh (influencer) dalam membentuk persepsi awam.

Sementara itu, Ahmad Saifullizam menekankan keperluan untuk para pengamal media terus belajar dan menyesuaikan diri dengan perubahan pesat teknologi komunikasi, serta mengutamakan pendekatan kreatif dan keberanian dalam mencuba idea baharu.

Forum ini juga menghasilkan beberapa cadangan penting, termasuk memperkukuh kurikulum pendidikan media di universiti ASEAN agar sejajar dengan keperluan industri.

Usaha ini bertujuan memastikan graduan mempunyai kemahiran relevan dan mampu bersaing dalam dunia pekerjaan yang kian kompetitif.

AMIEF2024 dijangka menjadi penanda aras penting dalam usaha memperkukuh industri media di ASEAN, dengan IPPTAR dan UniMAP memainkan peranan sebagai pemangkin kepada perubahan positif ini.

Hasil perbincangan dalam forum ini diharap akan memberi impak berterusan kepada industri media ASEAN secara keseluruhan. – HARAKAHDAILY 21/10/2024