16,342 pelatih sertai Program Pembangunan Bola Sepak Negara

Mohd Hasnizan Harun
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) sentiasa bekerjasama dengan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) khususnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memastikan prestasi sukan bolasepak negara berada pada tahap yang optimum.

Menurut kementerian itu, usaha dan tindakan yang dilakukan bagi menggilap bakat pemain dan membangunkan potensi pemain tempatan, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 telah memperuntukkan RM110 juta khusus untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) bagi tempoh 2021 hingga 2025.

“PPBN ini merupakan pelan strategik jangka panjang bagi menghasilkan generasi baharu pemain bola sepak Malaysia yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Mohd Hasnizan Harun [PN-Hulu Selangor] di Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Dalam soalannya, Mohd Hasnizan meminta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan usaha dan tindakan yang telah dan akan dilakukan bagi menggilap bakat pemain dan membangunkan potensi pemain tempatan untuk mewakili pasukan bola sepak kebangsaan memandangkan kini Malaysia banyak menggunakan khidmat pemain naturalisasi untuk kejayaan di peringkat antarabangsa.

Pada ketika ini, jelas kementerian itu, PPBN mempunyai 16,342 pelatih berumur antara 7 hingga 17 tahun yang sedang menjalani latihan di bawah bimbingan 756 jurulatih di 158 pusat latihan.

Katanya, pada tahun 2024, seramai lapan pemain hasilan daripada PPBN sedang beraksi dalam skuad kebangsaan, iaitu Harith Haikal, Arif Aiman, Haziq Aiman, Safwan Mazlan, Azan Azmi Nurad, Azim Al Amin dan Haqimi Azim. – HARAKAHDAILY 21/10/2024