Nelayan jual peralatan yang diagih kepada mereka?

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Betul ke nelayan jual peralatan yang diagihkan kepada mereka?”

Demikian perrtanyaan yang dilontarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim.

Menerusi hantaran di laman sosialnya, beliau berkata tidak ada bukti walau banyak dakwaan yang masuk ke telinganya.

“Bila kita minta bukti setakat ini belum ada bukti dikemukakan,” jelasnya.

- Advertisement -

Justeru, beliau menyenaraikan apa yang boleh dilakukan oleh pihaknya kepada golongan nelayan.

Menurutnya ialah memastikan bantuan yang diberikan kepada nelayan tulen yang turun ke laut.

“Selepas diagihkan, kita buat pula kursus cara-cara nak guna peralatan yang diagihkan seperti Garmin Fish Finder.

“Nelayan yang tak ada lesen bot, kita ikhtiar sampai dapat lesen,” katanya.

Tambahnya, jika jeti dan pangkalan nelayan uzur akan dibuat jeti baru.

Di samping itu, jelas beliau lagi, jika ikan kurang di laut, pihaknya melabuh unjam dan tukun.

Muara sungai cetek, kita dalamkan muara sungai secara berperingkat

“Nelayan nak cool room kita bina cool room, nelayan nak baiki bot kita bina slipway,” tambahnya yang juga ADUN Jabi.

Selain itu, kata beliau bagi nelayan kena bencana di laut, pihaknya menyediakan Tabung Bencana Nelayan.

“Nelayan tak ada rumah, kita buat Perumahan Penempatan Semula Nelayan. Nelayan nak pasarkan ikan kita buat Pasar Nelayan,” katanya.

Beliau berkata, jika nelayan berhadapan isu pencerobohan, maka operasi penguatkuasaan digiatkan.

“Dengan semua ini, kita harap nelayan manfaatkan sebaiknya semua bantuan peralatan yang diagihkan,” ujarnya lagi.

Azman turut mengucapkan terima kasih kepada ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang mewakili beliau untuk mengagihkan bantuan kepada nelayan daerah Dungun dan Kemaman, hari ini. (Foto atas) – HARAKAHDAILY 20/10/2024