
KUALA LUMPUR: “Pemergian yang dicemburui apabila Ketua Biro Politik HAMAS, As-Syahid Yahya Sinwar telah mengiringi beberapa orang pimpinan sebelumnya,” kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurutnya, kesyahidan tokoh tertinggi HAMAS yang dibunuh oleh Zionis laknatullah itu tidak akan melemahkan semangat juang pejuang Palestin dan umat Islam seluruhnya, sebagaimana syahidnya ratusan pimpinan sebelum ini.
Katanya, setelah setahun berlalunya Taufan al Aqsa, Israel menumpukan usaha membunuh pimpinan HAMAS, Hizbullah, dan Jihad Islam serta pimpinan lain.
Tegasnya, Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al Baqarah, ayat 154 bermaksud: Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.
“Mereka tidak mati tetapi tetap dan terus hidup. Hidup sebenar di sisi Allah dan terus hidup dalam kehidupan dan perjuangan manusia.
“Roh perjuangan mereka tetap hidup dan berkembang menjalar dalam setiap nadi pejuang Islam.
“Hidup dalam masyakat yang menjadikan mereka sebagai rujukan dalam sistem kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya.
Tuan Ibrahim berkata, Israel telah menyasarkan pimpinan dengan harapan akan lenyap perjuangan yang mereka lakukan itu, namun yakinlah mereka tidak akan mampu memadam cahaya Allah.
Katanya lagi, firman Allah SWT dalam Surah At -Taubah, ayat 32 bermaksud: Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).
Justeru, Tuan Ibrahim berkata, kesyahidan seorang pejuang sudah pasti mencambahkan benih pejuang yang lebih ramai.
“Samada ianya lahir dari sekolah perjuangan yang dibentuk oleh mereka atau roh ilmu yang terus berkembang dalam masyakarat.
“Ia ibarat sebatang pokok kelapa, hidupnya memberi manfaat setiap kepada yang lain.
“Setiap juzuk samada buah, batang, daun, sabut, tempurung, air, isi bahkan hampasnya tidak ada yang sia-sia,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Tambah beliau lagi, katanya ramai musuh Islam menganggap kematian As-Syahid Yahya Sinwar akan memadam perjuangan yang suci ini.
Tegasnya, sedangkan sejarah membuktikan kewafatan seorang pejuang menjadi asbab kemenangan Islam dan kebangkitan rakyat menentang kezaliman dan penindasan.
“Ia seperti mana yang dirakamkan oleh Allah di dalam Al-Quran, kisah tentang ashabul Ukhdud.
“Kematian seorang pemuda yang dibunuh dengan zalim telah membangkitkan kesedaran ribuan rakyat yang menyatakan keimanan mereka, sekalipun mereka dibunuh semata-mata kerana keimanan mereka kepada Allah, Tuhan sekalian alam,” ujarnya.
Justeru, katanya lagi kesyahidan Yahya Sinwar sudah tentunya dicemburui oleh semua umat Islam kerana besarnya ganjaran sebagai syuhada.
“Kita mendoakan kejayaan perjuangan mereka, memelihara saudara kita di Palestin, Lubnan, Yaman, Iran dan seluruh dunia kerana kezaliman tidak mengenal agama, bangsa dan sempadan wilayah.
“Kita yakin dengan janji Allah bahawa golongan zalim akan pasti dikalahkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!