KUALA LUMPUR: SiswaPAS Selangor dengan penuh iltizam menyatakan sokongan padu terhadap inisiatif #BaktiDemiSelangor yang digerakkan oleh PAS negeri.
Pengerusinya, Faiz Shukri berkata, sebagai mahasiswa yang prihatin terhadap masa depan negeri Selangor, pihaknya melihat usaha itu sebagai satu langkah tepat dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Selangor sentiasa terjamin.
Beliau berkata, pendekatan PAS Selangor untuk meningkatkan kualiti dan budaya kerja jentera penerangan akan memainkan peranan penting dalam menyebarkan informasi yang tepat dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.

“Ini selaras dengan hasrat kami sebagai mahasiswa untuk melihat kepimpinan yang lebih berintegriti, efisien, dan dekat dengan rakyat.
“SiswaPAS Selangor turut menekankan kepentingan memasarkan naratif, jenama, dan produk PAS Selangor yang lebih inklusif serta dapat diterima oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama.
“Kami menyambut baik usaha PAS untuk memperbetulkan salah faham terhadap perjuangan parti ini, khususnya di kalangan bukan Melayu dan bukan Islam, demi kesejahteraan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Pemuda PAS Selangor.
Faiz turut berkata, sejajar dengan tema ‘Bakti Demi Selangor’, SiswaPAS Selangor mengajak seluruh mahasiswa untuk bersama-sama memperkukuh usaha itu dalam memastikan PAS terus berbakti kepada negeri Selangor, rakyat, serta mempertahankan kedaulatan dan maruah negeri di bawah naungan Sultan Selangor.
“Sebagai mahasiswa yang bakal menerajui masa depan negara, kami komited untuk bersama-sama menyokong segala usaha demi kesejahteraan Selangor dan generasi akan datang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/10/2024