KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Kong Tuck Wah, Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Wilayah Persekutuan, yang telah meninggal dunia petang semalam.
Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS WP, Ustaz Azhar Yahya menyatakan rasa terkejut dan kesedihan atas kehilangan tokoh berkaliber ini.
Kong dikenali sebagai pemimpin yang memberikan sumbangan besar dalam memupuk perpaduan antara pelbagai kaum dan agama, serta mengambil pendekatan sederhana dalam interaksi antara bangsa dan budaya.
Menurut Azhar, kehilangan mendiang merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarganya, tetapi juga kepada seluruh organisasi PAS WP, khususnya DHPP.
“PAS WP berharap agar keluarga mendiang diberikan ketabahan dalam menghadapi saat-saat sukar ini. Semoga segala jasa dan sumbangan mendiang akan dikenang dan dihargai oleh generasi akan datang,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 18/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!