Rakyat kecewa hutang negara bertambah

Shahrulufti Sharif
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peningkatan hutang negara adalah jelas amat mengejutkan dan mengecewakan setiap rakyat negara ini.

Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Shahrulufti Sharif berkata, baru-baru ini Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) melaporkan hutang negara telah meningkat sebanyak RM1.173 trillion pada tahun 2023 berbanding RM1.08 trilion pada tahun 2022.

- Advertisement -

“Peningkatan hutang tersebut adalah melebihi RM90 billion. 

“Sebelum ini Perdana Menteri mengatakan bahawa hutang negara telah berkurangan tetapi rupa-rupanya kenyataan tersebut adalah jelas bohong jika benar-benar meneliti Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) ini,” katanya dalam satu kenyataan.

MenurutNYA, laporan LKAN bukan sahaja menunjukkan ketidakcekapan kerajaan dalam menguruskan kewangan negara tetapi juga mendedahkan pelbagai penyelewengan yang berlaku.

Tambah beliau, isu tersebut adalah amat membahayakan masa depan negara ini.

“Kegagalan ini adalah satu tamparan hebat kepada integriti dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan. 

“Ini kerana isu sebegini adalah sememangnya memalukan dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Tambahan pula, rakyat Malaysia berhak mendapat sebuah kerajaan yang telus, bertanggungjawab dan berintegriti.

“Namun begitu, janji kerajaan untuk mematuhi tata kelola hanya menjadi retorik semata-mata,” jelasnya.

Media melaporkan hutang Kerajaan Persekutuan pada tahun 2023 meningkat sebanyak 8.6 peratus atau RM92.92 billion kepada RM1.173 trilion berbanding RM1.08 trilion pada tahun 2022.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 3/2024, Hutang Persekutuan terdiri daripada Pinjaman Dalam Negeri berjumlah RM1.143 trillion atau 97.5 peratus daripada jumlah keseluruhan Hutang Persekutuan manakala Hutang Luar Negeri berjumlah RM29.851 billion atau 2.5 peratus. 

Sehubungan itu, Shahrulufti menyatakan tindakan segera perlu diambil dalam menghadapi masalah kenaikan hutang negara ini.

Tambah beliau, rakyat tidak boleh terus dibohongi dan dikhianati lebih-lebih lagi setelah menanggung bebanan daripada pemansuhan subsidi diesel kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada lapan peratus.

“Maka, antara cadangan yang ditawarkan ialah penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat penyelewengan yang dilaporkan LKAN dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana yang bersalah.

“Selain itu, reformasi dalam sistem kewangan negara itu sendiri perlu dilakukan supaya dapat menjamin ketelusan dan akauntabiliti pihak kerajaan dalam menguruskan wang negara.

“Di samping itu, Parlimen juga perlu meningkatkan lagi peranannya dalam mengawasi segala perbelanja yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan memastikan setiap sen yang dibelanjakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Cadangan terakhir yang ditawarkan mengenai isu hutang negara ini ialah pelancaran kempen kesedaran awam mengenai kepentingan integriti dan ketelusan dalam pentadbiran sesebuah negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!