KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mengecam sekeras-kerasnya tindakan pengganas rejim Zionis Israel terhadap Hospital al-Aqsa di Deir Al-Balah, bandar Gaza.
Presidennya, Imran Sulaiman, berkata tindakan itu jelas menunjukkan sikap yang tidak berperikemanusiaan serta zalim dan diumpamakan seperti binatang buas kerana menyasarkan orang awam dan kanak-kanak tidak bersalah sebagai sasaran.
“Dunia dikejutkan sekali lagi dengan serangan genosid oleh pengganas rejim Zionis baru-baru ini terhadap warga Palestin yang menyasarkan Hospital Syuhada al-Aqsa sebagai sasaran.
“Serangan kejam ini dilaporkan telah mengakibatkan sekurang-kurangnya empat rakyat Palestin maut manakala lebih 70 orang cedera kerana dibakar hidup-hidup.
“Lebih memilukan lagi terdapat sebuah video yang memaparkan seorang mangsa yang dikenali sebagai Shaaban Ahmad al-Dalou telah terbakar hidup-hidup kesan daripada siri serangan laknatullah ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Pejabat Media Gaza berkata ini adalah kali ketujuh pada tahun ini, Israel menyerang kawasan Hospital al-Aqsa dan yang ketiga dalam beberapa minggu lalu mengorbankan rakyat Palestin yang berlindung kerana terpaksa meninggalkan rumah mereka.
Dilaporkan lebih 20 khemah musnah dalam serangan itu yang terdapat ramai orang dalam khemah ketika api merebak dan tidak dapat diselamatkan kerana kedudukan khemah berdekatan antara satu sama lain dan didirikan di ruang kecil dalam halaman hospital. – HARAKAHDAILY 18/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!