Penduduk Gaza dibakar hangus di Deir al-Balah

Khemah penduduk Palestin di Hospital al-Aqsa terbakar.
- Advertisement -

PENDUDUK Palestin di Gaza melaporkan ramai orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan udara Israel pada awal pagi Isnin, 14 Oktober lalu yang menyasarkan khemah penduduk Palestin yang terlantar dalam Hospital al-Aqsa di Deir Al-Balah, bandar Gaza.

Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan beberapa khemah dibakar ketika sebilangan rakyat Palestin cuba memadamkan api. Tentera Israel mendakwa bahawa mereka menyerang pengganas yang beroperasi dari pusat perintah di kawasan itu dan menuduh Hamas bersembunyi dalam kalangan orang awam serta menggunakan kemudahan seperti hospital untuk operasi keganasan.

- Advertisement -

Tentera Israel kerap menyerang kemudahan perubatan di Gaza sejak peperangan bermula lebih setahun lalu. Dalam beberapa bulan lalu, tentera udara Israel berulang kali menyerang tempat perlindungan dan tapak khemah yang sesak dengan mendakwa terdapat kumpulan pengganas yang menggunakannya sebagai pangkalan.

Rekod hospital melaporkan empat orang terbunuh dan 40 orang cedera. Seramai 25 orang dipindahkan ke Hospital Nasser di selatan Gaza selepas mengalami kecederaan melecur yang teruk. Pejabat Media Gaza berkata ini adalah kali ketujuh pada tahun ini, Israel menyerang kawasan Hospital al-Aqsa dan yang ketiga dalam beberapa minggu lalu mengorbankan rakyat Palestin yang berlindung kerana terpaksa meninggalkan rumah mereka.

Dilaporkan lebih 20 khemah musnah dalam serangan itu. Terdapat ramai orang dalam khemah ketika api merebak dan tidak dapat diselamatkan kerana kedudukan khemah berdekatan antara satu sama lain dan didirikan di ruang kecil dalam halaman hospital.

Minggu lalu, Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan satu laporan yang mengatakan bahawa Israel telah melaksanakan “Dasar Bersepadu untuk memusnahkan sistem pemeliharaan kesihatan di Gaza.

Serangan ini berlaku selepas sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dan 80 yang lain cedera pada Ahad, 13 Oktober lalu apabila kereta kebal Israel membedil sebuah sekolah yang melindungi mereka yang kehilangan tempat tinggal di Nuseirat, di tengah Gaza.

Serangan Israel ke atas Gaza memusnahkan kawasan yang luas di wilayah itu dan menyebabkan kira-kira 90 peratus daripada kira-kira 2.3 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Tentera udara dan darat Israel mengepung Jabalia di utara Gaza selama beberapa hari sambil mendakwa pejuang Hamas berkumpul semula di sana. Sepanjang tahun lalu, tentera Israel berulang kali kembali menyerang ke kem pelarian di Jabalia. Serangan ini berikutan arahan Israel untuk mengosongkan sepenuhnya utara Gaza, termasuk Bandar Gaza.

Dianggarkan kira-kira 400,000 rakyat Palestin kekal di utara. Tentera Israel mengesahkan bahawa hospital juga termasuk dalam arahan pemindahannya.

Setakat ini, menurut Kementerian Kesihatan Palestin serangan tentera Israel ke atas Gaza telah mengorbankan lebih 42,200 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan kira-kira 98,400 orang. – HARAKAHDAILY 18/10/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!