Ijtimak Tarbawi 2024 bakal gegarkan PUTIK Kelantan

Program persiapan fikrah Dewan Pemuda PAS Pusat

- Advertisement -

DEKAD 80-an dahulu, saat kebangkitan semula Islam sedang menyala dan menggelegak obornya, bumi Kelantan adalah pusat pentarbiahan pemuda PAS. Tokoh-tokoh jurubina dan pencetak kader dakwah seperti Almarhum Ustaz Yahya Othman, Almarhum Pak Suhail, Almarhum Ustaz Wan Mustapha Wan Rusdi, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Almarhum Ustaz Wan Jamil Wan Mahmud dan lain-lain figura.

- Advertisement -

Menariknya, mereka ini dengan kepelbagaian latar belakang alma mater, ada yang bergraduat dari Mesir, Madinah, Indonesia, India, Pakistan dan tidak kurang kampus-kampus tempatan. Tamrin panjang digalangi dalam tempoh seminggu dengan peserta dipilih dari seluruh negara oleh Lujnah Tarbiah Dewan Pemuda PAS Pusat. Impak gerakan tajnid ini melahirkan ramai tenaga mahir gerakan Islam seperti generasi pimpinan Pemuda PAS dalam dekad 90-an.

Kini gerakan Islam ini semakin membesar keahliannya, meranum dengan bakat-bakat baru, anak-anak muda berpendidikan dan menerima kehadiran penyokong yang pelbagai latar belakang. Konsistensinya di medan dakwah dan tarbiah telah teruji dalam tempoh yang panjang; tidak hina kerana fitnah dan kecaman, tidak luntur dek tribulasi dan intimidasi kepada pendokongnya dalam tempoh 73 tahun berpencak di negara ini.

Insya-Allah, harakatul ummah ini akan terus membina generasi pelapis kepimpinan melalui kilang tajnid pemuda. Insya-Allah, pada 1 dan 2 November 2024 ini akan berlangsung program terbesar Dewan Pemuda PAS Pusat iaitu Ijtimak Tarbawi 2024 di PUTIK Pengkalan Chepa, Kelantan, negeri yang pernah merakamkan banyak pahit manis perjuangan PAS sejak ditubuhkan oleh para alim ulama alumni Hizbul Muslimin. Lebih tiga dekad PAS memerintah Kerajaan Negeri Kelantan dan membantu mencorakkan kegiatan jihad ta’lim seterusnya menjadi panutan kepada negeri-negeri lain.

Program ini merupakan kesinambungan program besar Dewan Pemuda PAS iaitu Ijtimak Tarbawi di Masjid Rusila, Terengganu; KUIZM, Taman Melewar; seterusnya Maahad Muhamadiah, Pagoh, Johor; Yayasan an-Nahdhah, Pulau Pinang, Melaka; Kompleks Tahfiz an-Nur Besut, Terengganu; SACC, Shah Alam; dan lain-lain lokasi.

Dewan Pemuda PAS semenjak dekad 60-an telah ratusan kali mengadakan pelbagai  ijtimak dalam kerangka mencetak kader-kader dakwah dan anggota pemuda yang kompeten. Semasa DPPP dipimpini oleh Ustaz Hasan Shukri, seorang anak tarbiah Ikhwanul Muslimin Iraq, program ini dinamakan SPEM. DPPP bergerak ke setiap negeri untuk mempersiapkan fikrah pemuda terutama tonggak lima rukun yang digagaskan oleh gerakan Islam fenomenal itu. Menurut Almarhum Ustaz Hassan Shukri, pemuda PAS yang diasak dengan program tarbiah telah berjaya membentuk karektor kepimpinan Islam.

Dalam dekad kebangkitan Islam pula, selepas peralihan kepimpinan ulama, pelbagai ijtimak telah diadakan dengan menggunakan pelbagai jenis tema seperti ijtimak mustad’afin, ijtimak penerangan dan sebagainya. Dekad 80-an menyaksikan program  yang paling berskala besar iaitu Ijtimak Alami yang menghimpunkan tokoh-tokoh besar gerakan Islam antarabangsa, termasuk daripada gerakan Jamiat Islami, Ikhwanul Muslimin dan juga gerakan Islam yang lainnya. Ijtimak Alami yang diadakan di perkampungan Rusila telah menghimpunkan lebih seratus ribu orang amilin PAS dari seluruh pelusuk negara!

Ijtimak Tarbawi 2024 Dewan Pemuda PAS Malaysia akan berlangsung dengan euphoria santai di kawasan PAS yang teruji pengaruhnya. Pengkalan Chepa satu-satunya Parlimen yang PAS terus menang sejak dekad 50-an, pernah pasca Pilihanraya 1986, inilah satu satunya kerusi tunggal PAS menangi.

Ijtimak ini akan sarat dengan limpahan mutiara ilmu yang akan disampaikan oleh para pembentang kertas kerja, pengkuliah, juga panelis forum yang terdiri daripada kalangan pimpinan PAS Pusat dan mantan Ketua-ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, dengan jangkaan ribuan peserta yang bakal hadir memenuhi segenap ruang dalam dan luar PUTIK. Tujuan program ini untuk  memberikan kesan yang mendalam untuk memerkasakan kembali program tajnid, mencetak kader-kader dakwah dan merimbunkan kembali program amal tarbawi di dalam gerakan Islam tertua dan terbesar di negara ini. Terasa masih segar dalam ingatan penulis, Ijtimak Tarbawi di Kompleks Pendidikan Tahfiz an-Nur Besut dua tahun lepas, dengan kehadiran lebih 10,000 tetamu, pidato pimpinan yang mencerahkan akal serta pengisian daripada murabbi, Tuan Guru Presiden yang mendamaikan sukma. Ukhuwwah dipintal erat untuk merimbun rasa kasih sayang sesama amilin dan pimpinan Pemuda.

PAS walaupun disibukkan dengan pelbagai isu politik, kesibukan berfokus mentadbir empat kerajaan negeri, juga mengaduk medan siasah yang rencam, namun tidak melupakan kewajipan asasinya untuk membenihkan kefahaman terhadap ahli-ahlinya yang kini menjangkau lebih sejuta orang dan dua juta penyokong. Wadah ini bak sebuah kampus yang tidak lelah mencerahkan akal ahli, juga bak hospital yang merawat penyakit seperti ungkapan Almarhum Ustaz Harun Taib, sesepuh murabbi PAS.

Rahsia kekuatan PAS dapat bertahan dalam tempoh lebih tujuh dekad ini ialah kerana kejayaan mentarbiah ahlinya, berdada dengan kezaliman pemerintah. Tanpa tarbiah, maka PAS telah lama berkubur di negara ini seperti puluhan gerakan lain yang hanya berada di rakaman sejarah.

Dasawarsa 80-an dan 90-an adalah zaman subur merendang dengan usrah, tamrin, daurah, jaulah dan sebagainya; semua program ini begitu sinonim dengan kebangkitan generasi muda peserta kebangkitan semula Islam. Bahkan, PAS berjaya merubah kepimpinan pada tahun 1982 (transformasi kepimpinan Ulama) adalah kerana suburnya gerakan tarbiah dan pembinaan kader di mana Dewan Pemuda PAS adalah kilang pencetak kader gerakan Islam.

Kepimpinan ulama haraki  yang menjadi teras kepimpinan PAS berjaya direalisasikan akibat hidupnya gerakan tarbiah yang berterusan, juga akibat generasi peserta kebangkitan Islam yang begitu ghairah untuk melihat PAS menjadi gerakan Islam yang bergerak di atas kefahaman ahli, bukan semangat yang meledak-ledak kosong.

Jom anak muda berfikrah Islam, kita serbu Ijtimak Tarbawi 2024 di bumi Serambi Makkah dalam paranoid Kerajaan PH-BN yang semakin ditolak oleh majoriti Muslim negara ini, bersiaga untuk tersenyum di Kelantan Jumaat dan Sabtu ini awal November 2024. Jika himpunan mega motor RXZ di Kuala Terengganu boleh mengumpulkan 80,000 orang peserta, rasanya tidaklah munasabah jika program Amal Tarbawi ini tidak dapat menghimpunkan 10,000 orang peserta pencandu tarbiah dan tajnid. Ayuhlah anak muda gerakan Islam, Kelantan bukan sahaja mewah dengan bervariasi makanan, juga seribu ‘kegilaan’ perangai manusia yang tidak terjangkau dek akal. Di sini juga kalian akan menyulam suntikan fikrah berinti ukhuwwah semahal tempayan emas!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
(Penulis ialah Pengerusi Tetap Dewan Pemuda PAS Pusat, mantan ketua DPP Wilayah Persekutuan) – HARAKAHDAILY 18/10/2024