KUALA LUMPUR: Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan sangat dinantikan oleh rakyat, terutama kerana hutang kerajaan meningkat kepada RM1.173 trilion, dengan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai 64 peratus.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Abdul Basith Abdul Halim berkata, pengurangan perbelanjaan pembangunan dalam dua bajet sebelum ini memberi kesan negatif kepada ekonomi.
“Apakah Kerajaan Madani serius mahu memulihkan hutang negara, atau hanya umpama tikus membaiki labu sahaja?” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, berdasarkan rekod dua bajet yang lalu, meskipun anggaran keseluruhan bajet meningkat daripada RM388.1 bilion kepada RM393.8 bilion, perbelanjaan pembangunan sebaliknya berkurang daripada RM99 bilion kepada RM90 bilion.
Beliau menjelaskan bahawa pengurangan perbelanjaan pembangunan akan memberi kesan negatif kepada ekonomi, ditambah pula dengan kehilangan aset Petronas kepada syarikat milik negeri Sarawak, Petros yang menjejaskan pendapatan negara.
Menurutnya, kerajaan perlu mencari cara untuk mendapatkan wang bagi menampung belanjawan yang akan dibentangkan, memandangkan ketidaktentuan pendapatan negara.
“Apakah kerajaan mahu menghapuskan pelbagai lagi subsidi terhadap rakyat dan memperkenalkan cukai-cukai baharu yang begitu membebankan sehingga membuatkan rakyat semakin tersepit?
“Bagaimana dengan peluang-peluang pekerjaan yang semakin mengecil akibat pengurangan belanja pembangunan di dalam bajet sebelum ini?
“Ke mana janji-janji kerajaan untuk menstabilkan permintaan keperluan asas rakyat seperti beras tempatan?” soalnya.
Katanya, hakikatnya kerajaan Madani pada hari ini tidak mampu menguruskan negara dengan baik, malah sebelum ini merekalah yang paling lantang mengkritik peningkatan hutang negara.
Ironinya kata beliau, merekalah yang menambahkan hutang negara tanpa menerjemahkan sebarang solusi yang tuntas.
“Maka, Dewan Pemuda PAS Selangor yakin rakyat sudah muak dengan kerajaan tidak kompeten ini.
“Maka, Belanjawan 2025 menjadi penentu survival kerajaan pada hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!