UNIFIL diserang: Apa langkah keselamatan pasukan MALBATT?

Dato' Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan diminta untuk menjelaskan tentang langkah-langkah keselamatan yang diambil oleh Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) negara di Lubnan, terhadap Batalion Malaysia (MALBATT).

Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berkata, ia disebabkan oleh kekerapan serangan yang dibuat oleh tentera Israel ke atas UNIFIL yang kerap berlaku pada masa ini.

“Walaupun Yang Berhormat Menteri kata terkawal, tetapi rakyat Malaysia dan keluarganya dalam penuh kerisauan dengan keadaan MALBATT kita.

- Advertisement -

“Saya nak tahu, apakah anggota MALBATT kita di Lubnan ini dibenarkan membuat serangan tembakan balas sekiranya kedudukan mereka diserang oleh tentera Israel?” soalnya.

Jelas beliau, kejadian serangan tersebut telah pun berlaku ke atas tentera Sri Lanka dan juga Indonesia beberapa hari yang lalu.

“Yang mana kita juga tahu berlakunya kekerapan serangan tembakan senjata api kecil dan juga tembakan kereta kebal yang dibuat secara sengaja ke atas kedudukan pasukan tentera pengaman Sri Lanka dan Indonesia,” katanya.

Ikmal menyatakan perkara itu sewaktu mengajukan soalan tambahan kepada soalan asalnya dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau dalam soalan asalnya meminta Menteri Pertahanan menyatakan situasi keselamatan MALBATT850-11 di dalam misi pengaman PBB-UNIFIL di Lubnan dengan mengambil kira

perkembangan terkini serangan tentera Israel dan amaran daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Nentanyahu supaya pasukan UNIFIL segera meninggalkan selatan Lubnan.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam jawapannya berkata, pihaknya menerima hakikat bahawa ketika ini ancaman semakin meningkat dan semua perkara-perkara yang dilalui itu adalah di bawah kawalan UNIFIL.

Katanya, UNIFIL telah meletakkan garis panduan, antaranya soal semua ancaman dan cabaran yang dihadapi tertakluk kepada tindakan-tindakan ‘force protection’ yang telah disediakan.

“Jika berlaku serangan, dari segi ‘force protection measure’ yang telah ditetapkan, kalau untuk ‘self defense’ maka memang boleh untuk kita membalas tembakan dan sebagainya.

“Tetapi kalau untuk kita lakukan ‘offensive attack’ maka itu tidak dibenarkan kerana peranan dan tanggungjawab pasukan UNIFIL ini adalah sebagai pengaman,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2024