
KUALA TERENGGANU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini dalam keadaan siap siaga memantau dengan teliti situasi banjir air pasang yang dijangka berlaku di negeri Terengganu dari 18 hingga 25 Oktober ini.
Menurut kenyataan TNB hari ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu memaklumkan bahawa 41 kampung dalam lima daerah Besut, Kuala Terengganu, Marang, Dungun, dan Kemaman dijangka terjejas akibat fenomena air pasang itu.
“Dalam penilaian risiko banjir yang dilakukan oleh TNB, beberapa aset seperti pencawang elektrik dan pencawang masuk utama turut berisiko untuk terjejas, namun kerja-kerja mitigasi banjir telah dilaksanakan sepenuhnya bagi memastikan keselamatan orang ramai dan kestabilan pepasangan kami di kawasan tersebut.
“Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi menghadapi situasi ini. Pengguna disarankan untuk berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa dari pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, dalam situasi tertentu, TNB sentiasa memastikan keselamatan orang ramai diutamakan dengan memutuskan sementara bekalan elektrik di kawasan yang ditenggelami air banjir.
“Penyambungan semula bekalan akan dibuat dengan kadar segera sebaik ia selamat dilakukan,” katanya.
TNB juga akan memantau perkembangan dan melaporkan status terkini keadaan pepasangan serta bekalan dari masa ke semasa.
“Kami menyarankan para pengguna TNB di kawasan banjir untuk mengamalkan panduan keselamatan elektrik berikut demi keselamatan anda dan keluarga.
“Maklumat tersebut boleh dimuat turun dalam empat pilihan bahasa di [https://www.tnb.com.my/floodsafetytips/](https://www.tnb.com.my/floodsafetytips/),” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!