RUU 355: Beri penerangan jelas, terperinci kepada masyarakat

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penerangan yang jelas dan terperinci kepada masyarakat mengenai Rang Undang-Undang (RUU) 355 adalah amat penting.

Menurut Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena), ia bagi mengelakkan persepsi negatif serta salah faham dalam kalangan rakyat terhadap undang-undang itu.

“Apakah pendekatan usaha proaktif yang telah diambil oleh kerajaan untuk memberi penerangan yang jelas dan terperinci berkaitan dengan RUU 355 ini kepada masyarakat umum.

- Advertisement -

“Saya mengira langkah ini penting untuk mengelak daripada persepsi negatif kerana RUU Mufti sebagai contoh ada pihak yang menentang secara langsung atau tindakan pihak yang cuba timbulkan keraguan tentang keperluan usaha dapat ditangkis sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji undang-undang Islam di peringkat negeri.

“Ingin kita tekankan disini bahawa bukan sahaja rang undang-undang akta bidang kuasa syariah ini yang diberikan penerangan tetapi keseluruhan aspek mahkamah syariah itu sendiri diberikan perhatian termasuk juga pertindihan dan konflik bidang kuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2024