SELANGOR: Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Langat, Mohamad Jan Sulong menyeru orang ramai, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Hulu Langat (PKHL), Ahli-ahli PAS di semua cawangan, semua pendukung dan penyokong PAS di Hulu Langat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua dan Semenyih agar sentiasa bersedia melakukan persiapan menghadapi bencana dan musibah banjir.
Beliau berkata, DUN Dusun Tua dan Semenyih merupakan kawasan yang berisiko tinggi terjadinya bencana alam saban tahun.
Katanya, semua pihak harus komited berkhidmat dan membantu melalui saluran-saluran yang ada dan juga seiring bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Semenyih, Nushi Mahfodz dalam memastikan kebajikan rakyat Hulu Langat terjaga dan terpelihara.
“Di peringkat PAS Kawasan Hulu Langat, saya menyeru agar semua pihak sentiasa cakna dan bersiap sedia menghadapi situasi bencana ini terutama di musim tengkujuh kini.
“Semua ahli-ahli PAS yang tinggal di kawasan berisiko juga diminta untuk sentiasa cakna dengan situasi cuaca terkini serta memastikan diri dan semua ahli keluarga dalam keadaan yang selamat.
“Sila laporkan kepada pimpinan cawangan PAS setempat jika berlaku sebarang kemungkinan musibah bencana,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi di Facebook PAS Hulu Langat.
Tambah Mohamad Jan, sekiranya ada keperluan bantuan yang diperlukan oleh masyarakat dan komuniti setempat berkaitan bencana dan situasi banjir, pihak ini perlu melaporkan kepada PAS Kawasan melalui Khidmat Malaysia dan AJK PKHL.
Sebarang laporan berkenaan situasi bencana dan banjir hendaklah diminta untuk dilaporkan dan dimaklum segera kepada Penyelaras Khidmat Malaysia Hulu Langat, Tuan Mad Shahmiour di talian 012-2891910 untuk penyelarasan gerak kerja bantuan dan kebajikan.
“Sama-sama kita memanjatkan doa agar kita semua dipelihara dari sebarang musibah, dan moga kita sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!