PAS Rompin tubuh cawangan baru, komited capai kemenangan

- Advertisement -

ROMPIN: PAS Kawasan Rompin telah menubuhkan cawangan baharu di Kampung Jawa dengan penyertaan hampir 40 penduduk tempatan semalam.

Penubuhan cawangan itu merupakan langkah strategik dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin, Ustaz Nazri Ahmad hadir merasmikan cawangan itu.

- Advertisement -

Beliau berkata, PAS Cawangan Kampung Jawa adalah cawangan penaja yang ketiga bagi tahun ini, selepas Pulau Tioman dan Selancar 4.

“Kita tidak menubuhkan cawangan secara sembarangan dan ahli cawangan mesti menunjukkan komitmen tinggi dan bersedia menjadi pengganti kepada parti yang memerintah.

“Kempen PAS Teraju Pahang dilancarkan untuk merealisasikan hasrat ini dan Cawangan Kampung Jawa adalah cawangan ketiga bagi tahun ini selepas berjaya dibuka di Pulau Tioman dan Selancar 4,” katanya.

Beliau juga menerima 30 borang permohonan keahlian baru PAS daripada wakil penduduk, Shukor Abdul Rahim. (Foto atas)

Katanya, PAS kawasan juga sangat komited untuk mencapai kemenangan lebih baik pada Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.

“Kita komited untuk capai kemenangan lebih besar pada pilihan raya akan datang.

“Sebab itu kita berusaha menambah bilangan ahli dan membuka cawangan baru bagi menunjukkan keyakinan kita bahawa PAS mampu mengambil alih Kerajaan Negeri Pahang,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Bukit Ibam.

Perasmian Cawangan Kampung Jawa tersebut dihadiri kira-kira 50 orang termasuk kepimpinan PAS Kawasan Rompin. – HARAKAHDAILY 17/10/2024