KUALA LUMPUR: Seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dilaporkan tidak hadir untuk menduduki peperikaaan itu.
Ustaz Hassan Saad (PN-Baling) berkata, antara faktor pelajar tercicir daripada pendidikan adalah ada dalam kalangan mereka yang sudah bekerja, berkahwin dan meninggal dunia.
“Salah satu faktor lain seperti mana yang disiarkan media iaitu pelajar, Nur Nasuha Nusi, 12, tidak dapat menyambung pengajian ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana kemiskinan.
“Tahun lepas kementerian ada menyebut bahawa akan membuka sekolah khas untuk golongan miskin. Jadi, setakat manakah perancangan ini dilaksanakan?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Dalam soalan asal, beliau meminta Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan usaha dalam memastikan pelajar yang tidak hadir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikenal pasti puncanya dan usaha bagi memastikan golongan ini tidak terus tercicir daripada sistem pendidikan.
Timbalan menteri, Wong Kah Woh, berkata kementeriannya tidak mempunyai maklumat terkini berhubung sekolah khas untuk golongan miskin namun begitu pihaknya akan memberikan maklumat lanjut.
“Selain itu, kementeriannya juga telah menyediakan 18 bantuan secara am dan khusus kepada pelajar. Sejumlah RM788 juta telah disediakan untuk membantu pelajar bagi persediaan pada awal persekolahan tahun ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/10/2024