KUALA LUMPUR: Seramai 60 individu termasuk seorang pegawai imigresen berpengaruh yang disyaki menjadi dalang sindiket membawa masuk pekerja asing secara haram dengan melibatkan wang rasuah.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, 50 individu tersebut merupakan pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen yang diketuai seorang pegawai kanan yang telah bertugas selama 20 tahun di jabatan itu.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat tangkapan, serbuan dan juga rampasan. Berapakah bilangan warga asing yang lolos daripada kaunter imigresen ini sejak tindakan ataupun aktiviti ‘mengatur kaunter’ ini dibuat?
“Seterusnya, memandangkan ia merupakan perkara yang cukup serius iaitu pelanggaran integriti, tidak boleh ditolak ansur dan dipandang berat oleh Kementerian, adakah kerajaan bercadang untuk membuat satu peruntukan di bawah Akta Imigresen.
“Hal demikian untuk mewujudkan satu kesalahan yang penaltinya cukup berat kepada pegawai-pegawai jabatan itu sendiri yang melakukan kesalahan dan memerlukan pindaan perlembagaan kalau ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) turut mempersoalkan jumlah warga asing yang telah masuk ke Malaysia secara sah mulai Januari 2023 sehingga September 2024.
“Saya ingin tahu berapa orang yang dikesan tinggal melebihi tempoh yang melibatkan warganegara besar seperti Cina, India dan Arab?” katanya.
Dalam soalan asal, beliau ingin Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan langkah tegas kerajaan dalam menangani sindiket membawa masuk warga asing melalui modus operandi mengatur kaunter yang turut didalangi penguatkuasa agensi yang bertugas di pintu masuk udara negara sehingga bolosnya sempadan negara.
Menteri KDN, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kementeriannya akan bekerjasama bersama SPRM untuk menguatkuasakan undang-undang.
“Jumlah tangkapan yang dibuat di bawah seksyen itu dilakukan dengan bebas oleh SPRM di peringkat Jabatan Imigresen kerana kesalahan yang jelas yang merupakan isu tatatertib.
“Oleh itu kita telah mengambil tindakan terhadap 300 anggota kita yang menunjukkan seriusnya kita dalam menangani isu integriti ini.
“Selain itu, berkenaan jumlah warga asing memasuki di Malaysia saya memerlukan tempoh notis untuk memberi jawapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!