KANGAR: Sekitar 500 hingga 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada anak-anak Perlis menerusi satu sesi temuduga terbuka besar-besaran pada Sabtu, 9 November di Dewan Warisan Kangar, bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sumber Manusia Negeri, Asrul Aimran Abd Jalil menyeru semua penduduk Perlis, terutamanya golongan pencari kerja, untuk hadir ke sesi temuduga tersebut.
Peluang pekerjaan itu ditawarkan oleh syarikat Jabil bagi mengisi kekosongan jawatan operator, dengan anggaran antara 500 hingga 1,000 kekosongan.
Selain itu, sekitar 50 jawatan lain turut ditawarkan dalam pelbagai bidang berbeza di mana kilang dijadualkan mula beroperasi pada Januari 2025 ini memberi peluang pekerjaan signifikan, terutamanya kepada penduduk tempatan.
Anak-anak muda Perlis diseru untuk mengambil bahagian secara aktif dan membantu pembangunan ekonomi negeri melalui penyertaan dalam sektor industri yang semakin berkembang.
Menurut Asrul Aimran, kehadiran orang ramai amat digalakkan bagi memastikan semua kekosongan dapat diisi sepenuhnya.
“Ia juga merupakan langkah penting dalam menyokong pertumbuhan sektor pekerjaan di Perlis,” katanya lagi.
Calon yang berminat disarankan hadir lebih awal bagi melancarkan proses pendaftaran dan temuduga.
Mereka juga diingatkan untuk membawa dokumen penting seperti sijil kelayakan dan dokumen peribadi yang relevan bagi memastikan proses berjalan lancar. – HARAKAHDAILY 16/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!