YPU, TESDEC perkukuh kerjasama keusahawanan Terengganu

- Advertisement -

MARANG: Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Terengganu Skills Development Centre Berhad (TESDEC) dalam usaha memperkukuh sektor keusahawanan dan kemahiran teknikal.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah YPU, Ariffin Deraman, kerjasama itu adalah langkah strategik yang menggabungkan kepakaran dan sumber antara YPU dan TESDEC untuk memperluas pembangunan keusahawanan di negeri ini.

“Kedua-dua pihak akan bersama-sama menerokai pelbagai aspek keusahawanan termasuk pembangunan produk, promosi, pemasaran, penerokaan peluang baharu serta pembangunan industri dan pasaran produk,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama TESDEC, Bukit Kor, di sini, hari ini. Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah TESDEC, Sulaiman Sulong.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, berkata, melalui perjanjian itu, pelatih TESDEC akan berpeluang menjalani program penempatan di premis usahawan tempatan bagi memperoleh pengalaman praktikal.

Katanya, pelatih TESDEC juga berpeluang mendapatkan dana usahawan serta latihan dalam aspek penghasilan produk dan perkhidmatan yang relevan.

Selain itu, kata Arifin, kedua pihak akan mengadakan usahasama dalam apa jua bentuk perkongsian maklumat, program yang dijalankan termasuk di dalam dan luar negara. – HARAKAHDAILY 15/10/2024