Tuntutan bertindih: Malaysia perlu strategi diplomasi ASEAN

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu merangka pendekatan dan strategi yang efektif untuk memanfaatkan saluran diplomasi semasa Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN kini.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, ia adalah dalam rangka menyelesaikan isu tuntutan bertindih terutamanya di Laut China Selatan (LCS).

Beliau berkata, perkara itu susulan daripada ketetapan ASEAN baru-baru ini yang menggesa agar rumusan awal Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan diselesaikan dengan segera dalam Sidang Kemuncak ASEAN.

- Advertisement -

“Dan langkah ini penting mengambil kira laporan insiden kapal-kapal tentera laut asing yang didapati berada di pelantar minyak luar pesisir di Malaysia sejak kebelakangan ini.

“Serta tidak kurang juga berlakunya insiden kebocoran dokumen diplomatik Malaysia China sebelum daripada ini,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa pendirian Malaysia dalam isu tuntutan kawasan milik di Laut China Selatan tetap tegas, walaupun berdepan dengan tekanan dari negara seperti China.

Menurutnya, walaupun Petronas meneruskan aktiviti cari gali di kawasan seperti Kashawari, Malaysia sentiasa membuka ruang untuk dialog dan rundingan dengan mana-mana negara.

Beliau berkata, masalah sempadan tidak menjejaskan hubungan diplomatik atau perdagangan Malaysia dengan negara jiran seperti Thailand, Filipina, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Beliau menjelaskan bahawa Malaysia menegaskan pentingnya kod tatalaku dan dialog berdasarkan UNCLOS 1982 dalam sidang ASEAN, dengan respons positif dari China.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Dato’ Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) yang meminta Perdana Menteri menjelaskan hasil lawatan Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 pada 8 hingga 11 Oktober 2024.

Beliau juga menjawab soalan tambahan Amirudin mengenai persiapan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025, terutama dalam konteks ekonomi dan cabaran geopolitik semasa. – HARAKAHDAILY 15/10/2024