Tuduhan Bloomberg: Rakyat lihat kerajaan tidak serius

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dilihat sekadar mengumumkan siasatan demi siasatan berkaitan laporan yang dikatakan berunsur fitnah oleh media asing Bloomberg namun tidak ada hasil atau perkembangan siasatan diumumkan kepada orang ramai.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, situasi itu dilihat oleh rakyat seolah-olah kerajaan tidak serius dalam menangani isu itu yang boleh memberi imej buruk kepada Kerajaan dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri.

“Sebagaimana kita tahu dan saya pun tak suka mengungkit cerita lama. Soal campur tangan terhadap siasatan ini telah menyebabkan episod yang tidak seronok di dalam hidup Yang Berhormat Tambun sendiri secara peribadi beberapa puluh tahun lepas.

“Kerana itulah ia perlu ditangani. Tetapi apabila Yang Berhormat Tambun menyebut ini bukan kali pertama, iya, ini bukan kali pertama. Ini sudah kali kedua tahun ini,” katanya.

- Advertisement -

Beliau turut memetik kenyataan Anwar pada 27 Mac lepas yang menyatakan ‘Anwar semak dengan Perbendaharaan dakwaan mengenai bekas ataupun mengenai Farhash’ di mana hasil semakan itu tidak diumumkan kepada rakyat.

“Begitu juga dakwaan yang pertama juga pernah pihak polis mengeluarkan kenyataan pada Mei 2024, isu ‘Kasino Forest City, Polis rekod keterangan petugas portal Bahasa Inggeris’.

“Jadi sudah ada siasatan, tetapi tidak ada pengumuman dan tidak ada tindakan lanjut. Bahkan rakyat melihat Yang Berhormat sendiri boleh hadir ke pentas diadakan oleh agensi ini tanpa apa-apa masalah,” katanya.

Tambah beliau, apabila timbul isu yang kedua itu, rakyat mahu tindakan yang tegas dan lebih cepat daripada kerajaan untuk mendakwa agensi tersebut yang mempunyai pangkalannya di negara ini.

“Ini bukan sahaja pembangkang. Satu pertubuhan Lawyers For Liberty juga mempersoalkan kesungguhan kerajaan dalam menyaman Bloomberg.

“Bahkan yang diheret kepada siasatan ialah aktivis pro pembangkang. Antaranya individu bernama Isham Jalil dipanggil oleh polis kerana menggesa Perdana Menteri menyaman Bloomberg,” katanya lagi.

Justeru itu, beliau memohon tindahan tegas dan tuntas daripada perdana menteri tekanan secara peribadi daripada Perdana Menteri dalam isu itu.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata demikian sewaktu mengajukan soalan sewaktu sesi ‘Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri’ di Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Fadhli dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan apakah Kerajaan bersedia mengambil tindakan perundangan terhadap agensi berita antarabangsa Bloomberg berhubung dakwaan campur tangan Perdana Menteri dalam siasatan SPRM sehingga telah mencemarkan imej beliau di dalam usaha memerangi salah guna kuasa dan rasuah.

Sementara itu Anwar dalam jawapannya berkata, beliau menghormati prinsip yang dinyatakan Fadhli, namun katanya siasatan sedang dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita serah pada PDRM. Oleh kerana isu ini dibangkitkan saya percaya PDRM harus buat kenyataan yang tegas menjelaskan apa yang berlaku siasatan.

“Siasatan itu hanya melibatkan orang yang disebut. Siasatan itu juga memanggil Bloomberg. Wakil Bloomberg telah dipanggil mengikut kenyataan PDRM kepada saya, itu yang saya bacakan,” katanya.

Mengulas tentang kehadirannya ke program dianjurkan Bloomberg beliau berkata beliau hadir atas jemputan program kerajaan Negara Qatar sebagai pengucaputama kerana menghormati prinsip media bebas.

Isu tersebut adalah berkaitan artikel di portal Malaysia Now memetik sumber Bloomberg yang mengatakan PMX telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tidak menyiasat isu skandal pemilikan saham oleh bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Farhash Wafa Salvador. – HARAKAHDAILY 15/10/2024